SINGAPURA 8 Julai – Tiga orang kru syarikat penerbangan British Airways digantung tugas dan bakal dipecat selepas mereka didakwa berlari dalam keadaan bogel di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Lapor Straits Times yang memetik portal The Sun, kru terbabit, dua lelaki dan seorang wanita telah dihantar pulang selepas menyeludup sebotol minuman keras sejurus selesai penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow di London ke sini.
Memetik seorang sumber, portal Britain itu berkata, semasa berada di hotel yang tidak didedahkan tersebut, kru kabin terbabit kemudiannya minum arak sehingga mabuk.
Semasa mabuk, trio itu menerima cabaran untuk berlari secara bogel berulang alik dari koridor hotel sambil mengetuk pintu bilik tetamu hotel lain.
Antara yang terganggu dengan kelakuan kurang sopan mereka adalah pegawai British Airways, yang dilapor meluat dan melaporkan kesemua kru terbabit kepada bos mereka di London. – AGENSI











