MACHANG 5 Julai – Ketika murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Wan Mohammed Adam Mohd. Suria terjerumus ke dalam lubang pada lantai bas, salah seorang rakannya cuba menarik bahu mangsa dengan segala kudrat yang ada namun gagal.
Rakannya itu, Imam Mushaddad Mohd. Nazman, 12, tergamam apabila hanya mampu melihat Wan Mohammed Adam yang juga sahabat karibnya hilang ‘ditelan’ lantai bas yang menjadi seolah-olah pasir jerlus di depan matanya.
Menceritakan kembali situasi tersebut, murid itu berkata, sebelum kejadian mangsa pergi ke bahagian hadapan bas dan dilihat berbual-bual dengan pemandu bas berkenaan.
“Dia seorang berada di atas tangga manakala empat lagi rakan kami berada di lorong tengah bas. Secara tiba-tiba dia jatuh ke bawah lantai yang jerlus namun sempat berpaut.
“Saya pegang bahu dia namun tapi (kudratnya) tak gagah, dia semakin ‘turun’ ke bawah sebelum terjatuh. Saya tidak dapat selamatkan dia,” katanya ketika ditemui selepas jenazah Wan Mohammed Adam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baka malam tadi.
Imam Mushaddad berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata dan hanya disedari pemandu selepas salah seorang murid perempuan menjerit ketakutan sebelum kenderaan itu dihentikan serta-merta.
“Saya hanya mampu tengok dia hilang tapi tak berani pergi dekat selepas kejadian itu. Semasa kami naik bas itu tidak nampak lubang.
“Lantai nampak biasa sahaja sebab dia lapik dengan papan dan ada karpet di atasnya. Bila Adam pijak dia jerlus ke bawah,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 11.50 pagi semalam, Wan Mohammed Adam, 12, maut akibat digilis tayar selepas terjatuh ke bawah bas melalui lantainya yang reput. – UTUSAN ONLINE











