KUALA LUMPUR – Empat lagi premis yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran digempur Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Jalan Puteri dan Bandar Puchong Jaya, dekat sini malam tadi.
Dalam serbuan bermula pukul 10.30 malam itu, sebanyak 22 wanita warga asing dari China, Vietnam, Indonesia dan Thailand ditahan selepas dipercayai menawarkan khidmat aktiviti tidak bermoral itu.
Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, turut ditahan adalah lima penjaga lelaki tempatan dan seorang pekerja lelaki warga Myanmar berusia antara 21 hingga 51 tahun.
“Tiga daripada premis tersebut terletak di Jalan Puteri. Premis pertama berselindung di sebalik khidmat pusat kesihatan di tingkat satu dan menawarkan pakej khidmat seks biasa dengan bayaran RM60.
“Premis kedua juga beroperasi di tingkat satu dan menawarkan pakej lengkap dengan bayaran RM170, manakala premis ketiga kononnya pusat urut turut menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM160,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, premis di tingkat satu di Bandar Puchong Jaya yang juga kononnya adalah pusat spa, dikesan menjalankan kegiatan pelacuran dengan pakej lengkap yang mengenakan bayaran RM220. – UTUSAN ONLINE











