LONDON – Zimbabwe telah digantung daripada Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) atas alasan wujud campur tangan kerajaan terhadap badan induk sukan negara itu.
Pihak Lembaga ICC telah sebulat suara membuat keputusan membeku bantuan kepada badan induk sukan kriket Zimbabwe dan menggantung negara berkenaan daripada menyertai apa jua kejohanan di peringkat antarabangsa.
“Kami tidak akan membuat keputusan menggantung ahli sewenang-wenangnya namun kami perlu melakukannya demi memastikan sukan ini bebas daripada campur tangan politik.
“Apa yang berlaku di Zimbabwe adalah sesuatu yang serius,” kata Pengerusi ICC, Shashank Manohar dalam satu kenyataan hari ini.
Pihak kerajaan negara itu menerusi Sukan dan Suruhanjaya Rekreasi Zimbabwe telah menggantung badan induk kriket negara berkenaan sekali gus mengundang kemarahan ICC.
Zimbabwe gagal layak Piala Dunia dalam masa sama berdepan beberapa masalah kewangan.
Negara itu menjadi ahli penuh ICC pada 1992 dan mempamerkan prestasi membanggakan pada Piala Dunia 1999. – AGENSI











