PUTRAJAYA 28 Julai – Jumlah kes penyakit Hepatitis B menunjukkan peningkatan sejak lima tahun kebelakangan ini iaitu daripada 12.94 orang setiap 100,000 penduduk ketika 2014 kepada 14.52 orang pada tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi Hepatitis C pula, dianggarkan sebanyak 3,000 kes jangkitan baharu dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan pada setiap tahun.
“Malah pada 2018, sebanyak 2,842 kes baharu Hepatitis C telah dilaporkan dengan kadar notifikasi 8.77 kes bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Hepatitis Sedunia hari ini.
Sehubungan itu, Noor Hisham menjelaskan, vaksin Hepatitis B adalah penting untuk memberi perlindungan jangkitan penyakit itu apabila sejak 30 tahun lalu, kerajaan telah memberikan imunisasi vaksin sebanyak tiga dos kepada semua bayi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.
“Pemberian vaksin Hepatitis B dalam tempoh 24 jam selepas lahir adalah 95 peratus efektif di dalam mencegah jangkitan virus itu dalam tempoh perinatal (selepas kelahiran). Manakala bagi jangkitan Hepatitis C, tiada vaksin untuk mencegah daripada jangkitan, namun begitu pada amnya boleh dirawat dan disembuhkan dengan pengambilan ubat Direct Acting Antiviral (DAAs),” katanya.
Pada masa sama, Noor Hisham berkata, Hepatitis adalah satu penyakit yang menyebabkan keradangan hati akibat jangkitan virus hepatitis A, B, C, D atau E.
Beliau menjelaskan, Hepatitis jenis A dan E biasanya disebabkan menerusi pengambilan makanan atau air yang tercemar manakala B, C dan D membawa kepada penyakit kronik dan punca utama kepada sirosis (parut) hati dan kanser hati.
“Seseorang boleh dijangkiti Hepatitis B atau C apabila terdedah secara langsung dengan darah daripada seseorang dijangkiti menerusi luka, perkongsian jarum dan hubungan seks, selain itu, ia juga boleh menular daripada ibu kepada bayi ketika proses kelahiran.
“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan masyarakat agar sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan mengelakkan diri daripada risiko jangkitan serta disarankan tidak berkongsi alat kebersihan diri peribadi tertentu seperti pengetip kuku, berus gigi, pisau cukur dan lain-lain kerana boleh menyebabkan virus boleh merebak,” ujar beliau.
Kata Noor Hisham lagi, pesakit Hepatitis juga dinasihatkan agar tidak menderma darah kerana boleh menyebabkan jangkitan kepada penerima darah dan melakukan amalan hubungan seks secara selamat untuk mencegah penularan jangkitan.
“Bagi mereka terdedah kepada risiko jangkitan viral hepatitis adalah dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan bagi mengesan jangkitan dan seterusnya diberikan rawatan awal. Ibu bapa juga dinasihatkan untuk memastikan anak mereka diberi imunisasi Hepatitis B mengikut jadual yang ditetapkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan,” katanya.
Pada masa sama, Noor Hisham memaklumkan, bersempana Hari Hepatitis Sedunia pada setiap 28 Julai, pihak kementerian berjaya melaksanakan kempen saringan Hepatitis C di 112 fasiliti kesihatan yang merangkumi 63 klinik kesihatan dengan kerjasama Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi), Foundation for Innovative New Diagnostics (FIND) dan Pharmaniaga.-UTUSAN ONLINE











