PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan memandang serius dakwaan kertas penyelidikan yang dibuat oleh pelajar telah `dicuri’ apabila diterbitkan atas nama penyelia (Advisor) mereka.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan perlakuan tersebut kerana ia boleh menjejaskan sistem pendidikan negara.
Jelas beliau, Jawatankuasa Integriti Akademik kementerian kini dalam proses menyiasat dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Tindakan ini selaras dengan agenda pembaharuan pendidikan ke arah kebebasan dan integriti akademik.
“Pihak kementerian menggesa mana-mana pelajar sarjana dan lain-lain pelajar yang merasakan mereka telah `dirompak’ melalui cara itu, agar membuat aduan kepada kementerian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Maszlee, pihak kementerian sedar mengenai kewujudan amalan tidak beretika dan tidak profesional itu.
Beliau sehubungan itu menggena pihak pentadbiran semua universiti agar memandang serius perkara itu dan mengambil tindakan bagi menghentikannya.
“Isu plagiat membabitkan pelajar kerap dibangkitkan. Ia sentiasa dipantau dan ditangani oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun, usaha perlu dilakukan untuk memastikan ahli akademik tidak mengeksplotasi dan mengambil kesempatan di atas hasil kerja pelajar mereka.
“Penyelia akademik sepatutnya bertindak sebagai penyelia dan mentor, bukannya menyalahgunakan kuasa mereka. Pihak kementerian ingin menegaskan bahawa amalan sebegini tidak boleh diterima atau bukan alasan untuk mencapai markah petunjuk prestasi utama (KPI),” katanya.
Baru-baru ini, Majlis Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Awam (MPLPU) menyatakan pihaknya memandang serius amalan plagiat atau mencedok karya orang lain yang dilihat semakin berleluasa dalam kalangan ahli akademik di universiti-universiti di Malaysia. – UTUSAN ONLINE











