PUTRAJAYA 16 Julai- Kejayaan pasangan terjun negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee yang meraih tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo diharap dapat memberi inspirasi kepada atlet negara yang lain.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, prestasi cemerlang gandingan berpengalaman negara itu amat bermakna khususnya dalam usaha untuk layak ke temasya Olimpik.
“Kejayaan gandingan penerjun negara ini sangat bermakna, prestasi yang dipamerkan amat baik dan saya berharap ianya akan berterusan dalam persediaan untuk mengharungi temasya Olimpik pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Pada Ahad lalu, Pandelela dan Mun Yee muncul wakil pertama daripada sukan terjun yang mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik 2020 menerusi acara 10 meter (m) platform seirama selepas meraih perak di Kejohanan Terjun Dunia di Korea Selatan.
Ditanya sama ada Pandelela dan Mun Yee akan diberikan slot automatik untuk mewakili negara di Sukan Olimpik 2020, Syed Saddiq berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama dengan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).
“Perkara ini akan dibincangkan secara bersama, sekarang fokus utama kita ialah untuk pastikan mereka yang berkelayakan untuk mewakili Malaysia. Itu standard kita,” jelasnya.
Selain itu, Syed Saddiq turut berharap bilangan atlet yang layak ke Sukan Olimpik 2020 akan bertambah sebelum akhir tahun ini dan beliau telah diberikan taklimat oleh Majlis Sukan Negara (MSN) serta persatuan mengenai sukan-sukan yang berpotensi.
“Antara sukan yang disasarkan layak ke Sukan Olimpik 2020 ialah hoki lelaki dan wanita. Ada beberapa sukan lagi namun, kita tidak mahu memberi mereka tekanan buat masa ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq memaklumkan beliau telah meminta MSN memberi taklimat berhubung isu pengguguran dua tekong utama skuad sepak takraw negara baru-baru ini.
“Saya baca bahawa ada masalah disiplin, saya sudah dapat sedikit penerangan. Apa-apa penilaian perlu dibuat secara komprehensif, kita tidak boleh menidakkan kebolehan atlet tetapi dalam masa sama mereka kena kekalkan disiplin,” katanya.-UTUSAN ONLINE










