KYOTO 20 Julai – Kebanyakan mangsa insiden kebakaran sebuah studio animasi di bandar ini merupakan golongan muda dan ada juga yang baru berkhidmat dengan syarikat tersebut sejak April lalu.
Setakat ini, angka korban insiden kebakaran yang didakwa berpunca daripada perbuatan khianat itu sudah meningkat kepada 34 orang.
Insiden itu disifatkan sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai paling teruk dalam tempoh dua dekad’ di Jepun yang terkenal sebagai negara merekodkan kadar jenayah paling rendah di dunia.
Presiden syarikat Kyoto Animation, Hideaki Hatta berkata, kebanyakan mangsa adalah wanita.
“Ada dalam kalangan mereka baru sahaja menyertai kami pada April lalu dan pada 8 Julai, saya berikan mereka bonus pertama sebagai tanda penghargaan.
“Mereka mempunyai masa depan yang cerah namun nasib tidak menyebelahi mereka. Saya tidak tahu apa yang perlu diucapkan, selain rasa marah, saya benar-benar terkesima dengan apa yang berlaku,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Channel News Asia.
Sebanyak 15 mangsa korban berusia dalam lingkungan 20-an dan 11 lagi berumur 30-an, manakala enam orang berusia 40-an dan selebihnya di atas 60 tahun.
Studio tersebut mempunyai seramai 160 pekerja dengan anggaran purata pekerjanya berusia 33 tahun.
Polis setakat ini sudah mengenal pasti identiti suspek yang dikenali sebagai Shinji Aoba, namun enggan mendedahkan butiran lanjut.
Aoba juga masih belum ditahan polis susulan mengalami kecederaan teruk dan kini dirawat di sebuah hospital.
Sementara itu, Hatta memberitahu beliau tidak mempunyai idea mengenai dakwaan menciplak seperti yang dituntut suspek, selain tidak pernah mengetahui siapa Aoba. – AGENSI











