KUALA LUMPUR 15 Julai – AmBank Group Research menjangkakan pengeluaran sektor pembuatan Malaysia melebihi empat peratus pada suku kedua 2019 bagi membolehkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang lebih cepat kepada kira-kira lima peratus.
Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Ambank, Dr. Anthony Dass berkata, pengeluaran perlombongan yang kukuh daripada gas asli menyaksikan pengeluaran perindustrian (IP) pada Mei meningkat pada kadar sama seperti April lalu iaitu empat peratus.
Katanya, perlombongan itu mengimbangi keuntungan yang sederhana daripada segmen pembuatan dan elektrik yang meningkat sebanyak 4.2 peratus dan 5.7 peratus masing-masing pada Mei.
“Walaupun sektor pembuatan akan terus mengalami cabaran dengan syarikat memberi tumpuan kepada eksport yang mana permintaan semakin lemah, tekanan itu dilihat boleh berkurangan.
“Ia bergantung kepada kemungkinan tekanan daripada kelembapan sektor luaran dan jika terdapat sokongan daripada aktiviti pembuatan domestik,” katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.
Ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku pertama 2019, melepasi jangkaan penganalisis sebelum ini pada 4.3 peratus.
Beliau berkata, inventori telah dikurangkan sebagai sebahagian daripada langkah-langkah pelarasan stok. Akibat daripada jumlah belian yang lebih rendah, ia telah mengurangkan tekanan kepada rantaian bekalan.
Tambahnya, pemain industri pembuatan memberi tumpuan kepada kawalan kos di tengah-tengah pertumbuhan pengeluaran yang lebih perlahan manakala kadar pertukaran tidak menguntungkan membawa kepada kenaikan harga bahan mentah sekali gus menaikkan kos operasi secara keseluruhan.
“Mengambil kira purata indeks pengurus pembelian (PMI) pada suku kedua 2019 yang adalah yang tertinggi sejak suku ketiga 2018, ia membawa kepada tanda-tanda persekitaran perniagaan kembali cerah.
“Dalam pada itu, kami percaya pengeluaran pembuatan perlu melebihi empat peratus pada suku kedua 2019 seterusnya menyumbang kepada KDNK untuk berkembang lebih cepat kepada kira-kira lima peratus. – UTUSAN ONLINE











