KUALA LUMPUR 8 Julai – Berkonsepkan ‘Santai Berilmu’, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jana, Perak optimis merangkul Anugerah Perkhidmatan Kantin Terbaik peringkat kebangsaan yang bakal diumumkan pada 28 dan 29 Ogos depan.
Guru besarnya, Meor Ahmad Aziz melihat perkara itu tidak mustahil memandangkan seramai 65 orang guru dan 921 murid-murid menggembleng tenaga setelah kantin sekolah itu antara yang terpilih mewakili negeri Perak dalam pertandingan tersebut.
Jelasnya, konsep santai berilmu dipilih sebagai sinar baharu dalam penyampaian ilmu kepada murid-murid sekolah berkenaan dengan mewujudkan sudut-sudut bacaan dan permainan di kantin serta pondok sekolah.
“Perak diwakili oleh empat buah sekolah termasuk SK Taman Jana dengan pemilihan dua buah sekolah bagi peringkat rendah serta menengah.
“SK Taman Jana telah melakukan persediaan sejak bulan Mac lalu, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk jawatankuasa kantin dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, setiap sekolah juga perlu menghantar dua video pendek mengenai kantin sekolah tersebut dan generasi syarikat minuman susu, Farm Fresh yang merupakan penaja utama pertandingan itu.
Anugerah itu julung kalinya diperkenalkan pada tahun lepas dalam mempromosikan amalan kebersihan, kesihatan dan keselamatan makanan di kantin sekolah.
Terdapat dua kategori dipertandingkan iaitu Pengiktirafan Khas (Sekolah) Video Generasi Farm Fresh dan Kantin Sihat Segar (Kantin).
Dalam pada itu, Anugerah Keseluruhan pertandingan tersebut menawarkan hadiah wang tunai RM5,000, trofi serta sijil kepada Johan, naib johan (RM4,000, plak dan sijil) serta tempat ketiga (RM3,000, plak dan sijil). – UTUSAN ONLINE











