Kampar River Festival bermula hari ini - Utusan Malaysia

Kampar River Festival bermula hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAN arus deras merupakan aktiviti rekreasi berasaskan cabaran yang memerlukan daya tahan peserta dan kerjasama pasukan dalam mengharungi cabaran semasa berada di dalam sungai. Antara aktiviti yang melibatkan sukan itu ialah berakit arus deras, kayak dan tubing.

Dalam usaha untuk memperkenalkan dan menaikkan lagi aktiviti sukan arus deras di Malaysia, Radak Adventure Consultant mengambil inisiatif menganjurkan Kampar River Festival 2019, bermula hari ini sehingga 7 Julai ini di Sungai Kampar, Gopeng, Perak.

Pengarah Program, Mohd Hasrol Kamis, berkata, acara itu menggabungkan semua jenis sukan arus deras dalam satu konsep pertandingan dan Sungai Kampar dipilih sebagai lokasi festival kerana sungai itu merupakan destinasi tumpuan untuk penggemar sukan arus deras, sama ada dari Malaysia mahupun luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, terdapat juga beberapa operator lain yang menjalankan aktiviti yang sama di sepanjang jajaran Sungai Kampar terlibat menjayakan festival berkenaan.

“Sungai Kampar termasuk dalam Kawasan Geopark Kebangsaan Lembah Kinta yang diuruskan Perbadanan Taman Negeri. Ini antara sebab kenapa Sungai Kampar dipilih sebagai lokasi penganjuran festival. Selain itu, jajaran Sungai Kampar juga mempunyai banyak kemudahan dan fasiliti yang mencukupi serta akses yang mudah untuk tiba ke lokasi acara,” katanya kepada Utusan Online.

Antara lokasi acara ialah Dataran Jahang, Kuala Razila, Murni Camp, PUBG Camp, Kampung Chulek dan Riverside Camp.

Sementara itu, antara pengisian acara sepanjang Kampar River Festival 2019 adalah perlumbaan berakit arus deras, kayak dan tubing, sukan rakyat, konservasi sungai, Rafters and Hammock Gathering dan persidangan geopark.

Mohd Hasrol berkata, acara pertama yang diadakan ialah perlumbaan berakit arus deras yang melibatkan empat kategori pertandingan iaitu downriver, sprint, head to head dan slalom.

“Bagi perlumbaan kayak pula, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu slalom dan downriver, manakala perlumbaan tubing akan menjadi acara pertama dianjurkan di Asia,”tambahnya.

Dalam pada itu, katanya, pihak penganjur tidak melupakan sokongan penduduk setempat sepanjang festival berlangsung. Justeru, acara Sukan Rakyat diadakan bagi mengembalikan nostalgia kepada masyarakat setempat dan akan diadakan selama dua hari iaitu pada hari kedua dan ketiga festival.

“Sukan Rakyat mempunyai tiga slot yang mana slot pertama dan kedua dijalankan pada hari kedua acara dan slot ketiga akan dijalankan pada hari terakhir Kampar River Festival,” ujarnya.

Selain itu, pihak penganjur akan menghimpunkan penggerak dan penggemar aktiviti sukan arus deras dan hammock dari seluruh dunia sepanjang festival berlangsung bagi memeriahkan lagi acara terbesar dan pertama seumpamanya dianjurkan di Malaysia.

“Acara itu dinamakan Rafters and Hammock Gathering. Peserta acara ini akan melibatkan diri dalam aktiviti konservasi sungai yang dijalankan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar. Tujuan program ini adalah untuk berkongsi kesedaran tentang kepentingan sungai yang menjadi nadi utama dalam kehidupan

seharian,”katanya.

Pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai festival ini, boleh didapati menerusi:

Facebook : Kampar River Festival

Instagram :kamparriverfestival

Website : https://www.radakadventure.com/kampar-river-festival

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini