DAERAH POLK, Florida – Polis menyiasat kematian seorang lelaki di Florida selepas sebahagian tubuhnya ditemui di dalam perut seekor aligator, lapor portal ladbible.com.
Seorang pekerja syarikat perlombongan di Daerah Polk, Florida, menghubungi polis pukul 8 pagi (waktu tempatan) pada Khamis lepas apabila dia melihat mayat manusia terapung di sebatang sungai.
Pengadu memberitahu polis bahawa dia juga melihat seekor aligator besar dengan cebisan mayat mangsa berada di dalam mulut reptilia itu.
Menurut saluran televisyen FOX13, Pejabat Syerif Daerah Polk mengenal pasti mangsa sebagai Michael Ford II dan berumur 45 tahun. Dia tidak dilihat oleh keluarga dan rakan-rakan sejak 23 Jun lalu.
Petugas-petugas Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida menangkap dan membunuh aligator itu supaya mereka dapat melakukan bedah siasat.
Pejabat syerif berkenaan kemudian mengesahkan bahawa tangan dan kaki Ford ditemui di dalam perut aligator itu.
Setakat ini, masih tidak jelas sama ada haiwan ganas itu membaham tubuh Ford selepas atau sebelum dia meninggal dunia.
Menurut pihak berkuasa, aligator itu memiliki panjang hampir 3.7 meter (12 kaki) dan berat 204 kilogram. Polis turut menemui trak milik mangsa di lokasi kejadian. – Agensi











