Jurujual kereta didakwa tipu, pecah amanah RM49,000 - Utusan Malaysia

Jurujual kereta didakwa tipu, pecah amanah RM49,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang jurujual kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan tipu dan pecah amanah terhadap sebuah syarikat pemaju perumahan berjumlah RM49,000 tahun lalu. 

Tertuduh, Chong U Gene, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdayakan syarikat Team Keris Berhad agar memasukkan wang berjumlah RM9,000 ke dalam akaun RHB Bank atas nama tertuduh di RHB Bank, Persiaran Greenhill di sini pada 27 Februari 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut selepas syarikat berkenaan percaya tertuduh boleh mendapatkan kelulusan permit pemasangan cermin gelap daripada Jabatan Pengangkutan Jalan.

U Gene turut didakwa melakukan pecah amanah selepas mengambil wang hasil jualan kereta jenis Mercedes Benz milik Team Keris Berhad (TKB) berjumlah RM40,000 yang diterima daripada Sahidah Atan, 69.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di TKB Tower, Time Square, Jalan Sultan Nazrin Shah di sini pada 14 Mac 2018.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Sukhwinder Singh Sidhu dan Shassidaren Sana Deva Pathy. 

Pihak pembelaan memohon agar jaminan tertuduh dikurangkan dengan alasan tertuduh menjaga ayah yang sudah tua dan ibu yang sakit kanser selain menyara isteri dan seorang anak berusia tujuh tahun.

Umzarul An-Nur kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini