KUALA LUMPUR – Tugas getir menanti perseorangan lelaki negara, Liew Daren apabila membuka kempen kejohanan badminton Terbuka Indonesia esok kerana bakal berdepan juara dunia, Kento Momota dari Jepun.
Pemain profesional berusia 32 tahun itu yang kembali beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan kaki akan bertemu Momota buat kali ketiga selepas dua kali tewas termasuk dalam separuh akhir Kejohanan Dunia tahun lalu.
Daren mengakui, undian yang diterima itu bukan sesuatu yang mudah tetapi dia tidak memiliki sebarang pilihan sebaliknya perlu beraksi sebaik mungkin kerana sedang dalam fasa mencari mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Katanya, keadaan kakinya semakin baik dan pada masa sama berharap kecederaan itu tidak akan berulang lagi selepas ini.
“Memang bukan undian yang baik tetapi apa lagi pilihan yang saya ada. Saya harap boleh berikan kesukaran kepada Momota.
“Keadaan kaki saya semakin baik dan berharap boleh lakukan kejutan,” katanya.
Ekoran kecederaan yang dialaminya sebelum ini, dia berdepan kesukaran untuk melepasi pusingan kedua dalam beberapa siri kejohanan yang disertainya sebelum ini.
“Memang ada rasa sedikit sakit lagi selepas latihan tetapi saya fikir, saya boleh lakukan lebih baik di Jakarta,” kata Daren yang akan turut beraksi di Terbuka Jepun dan Terbuka Thailand sepanjang bulan ini.
Ketiadaan Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan persaraannya, bulan lalu menyaksikan Daren dan Lee Zii Jia akan bersaing untuk merebut tempat ke Sukan Olimpik.
Kedua-dua pemain itu perlu berada dalam kelompok 16 pemain terbaik menjelang April tahun hadapan untuk layak ke temasya sukan paling berprestij itu. – UTUSAN ONLINE











