JERANTUT – Seorang lelaki ditahan polis selepas didapati mengedar dadah di atas rakit ketika operasi serbuan di Sungai Tembeling, Kuala Tahan dekat sini semalam.
Dalam operasi serbuan pukul 7 pagi itu, suspek yang berusia 32 tahun berkenaan cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam arus sungai sebelum berjaya diberkas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Azman Mat Khamis berkata, hasil serbuan itu pihaknya merampas 27.4 gram heroin dan 26.06 gram syabu.
“Dadah yang dirampas dianggar bernilai RM6,450. Siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah.
“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut di sini hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal juga mendapati suspek menjalankan kegiatan mengedar dadah di atas rakit di Sungai Tembeling sejak enam bulan lalu.
Dalam pada itu, beliau menambah, pihaknya turut menahan 29 lelaki menerusi serbuan berasingan di sekitar daerah itu pada Sabtu dan semalam.
Katanya lagi, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM7,620 serta 67.821 liter air ketum menerusi operasi tersebut. – K! ONLINE











