Jo Don, cungkil sisi berbeza Remy Ishak - Utusan Malaysia

Jo Don, cungkil sisi berbeza Remy Ishak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Profil seni lakonan aktor popular, Remy Ishak cukup sarat dengan pelbagai watak hero romantis yang acap kali dijayakan sama ada dalam layar perak mahupun televisyen.

Cukup jarang melihat Remy melampiaskan sisi komedi seperti penampilannya dalam siri Mail & Sudin yang menyaksikan debut sulungnya melakonkan watak komedi sekitar tahun 2015.

Kini setelah hampir empat tahun berlalu, pemilik nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak itu kembali bereksperimentasi dengan karakter humor menerusi drama bersiri Keluarga Baha Don.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam drama yang bersiaran di platform penstriman Viu, Remy tampil berbeza sebagai Jo Don.

Kata jejaka berusia 37 tahun itu, sejurus mendapat tawaran dan menilai skrip, dia tidak dapat menolak untuk terlibat dalam projek tersebut. Keinginannya dikuatkan lagi dengan senarai pelakon senior yang turut beraksi dalam drama yang sama.

“Saya melihat watak yang diberikan cukup menarik walaupun perlu menjayakan watak komedi. Firasat saya ketika menilai skrip adalah watak Jo Don berbeza dengan karakter komedi sebagai Mail yang pernah saya jayakan.

“Hasrat itu dikuatkan lagi dengan melihat senarai pelakon yang membarisi naskhah ini. Mereka adalah idola dan pemenang anugerah pengarahan dan lakonan antaranya Nam Ron dan Sabri Yunus,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan eksklusif episod pertama Keluarga Baha Don di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jo Don

Sedikit selingan mengenai karya Keluarga Baha Don, siri tersebut mengketengahkan konflik sebuah keluarga dalam meneruskan legasi kumpulan mafia yang berpengaruh.

Jo Don merupakan seorang pakar kulinari yang bercita-cita mahu menjadi cef terkemuka, namun terpaksa menghentikan impiannya demi meneruskan legasi perniagaan keluarga Baha Don.

Jo Don adalah anak kedua dalam keluarga, dia bagaimanapun terkejut apabila Baha Don yang meninggal dunia telah mewariskan segala kekayaan termasuk urusan perniagaan keluarga kepadanya.

Tindakan Baha Don itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati abang sulungnya iaitu Mat Don lakonan Khir Rahman yang yakin bahawa bakal mewarisi setiap kekayaan tersebut.

Drama 10 episod sentuhan pengarah, Syed Fariz Syed Khairuddin itu mengangkat tema komedi yang dipengaruhi elemen humor gelap ala British mula bersiaran pada 11 Julai lalu.

Menyentuh mengenai kelainan Keluarga Baha Don, Remy menjelaskan, sejak dari awal menerima tawaran berkenaan, pengarah telah memberikan gambaran jelas arah drama tersebut.

Kongsinya, biarpun teruja menjayakan watak komedi namun terdapat batasan yang perlu dijaga terutama gaya penyampaian dialog dan gaya lakonan supaya selari dengan konsep komedi gelap Keluarga Baha Don.

“Sejujurnya, watak saya agak terikat kerana tidak banyak ruang untuk saya berkarya dalam siri ini. Namun, karakter Jo Don merupakan pengalaman baharu bagi saya.

“Sukar untuk saya gambarkan dalam perkataan. Apa yang boleh saya ungkapkan drama Keluarga Baha Don adalah penanda aras baharu dalam penghasilan drama tempatan,” ujarnya.

Secara peribadi, Remy sendiri pernah mempunyai pengalaman bekerja dalam bidang kulinari sebelum bergelar seorang pelakon. Justeru, Remy memberitahu, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjayakan watak sebagai cef seperti yang dituntut dalam drama.

Demi watak Jo Don, Remy perlu kembali mengasah bakat di dapur untuk melaksanakan aksi sebagai tukang masak berpengalaman.

“Saya pandai memasak, jadi tidak mempunyai masalah. Cuma dalam Keluarga Baha Don saya perlu mengasah bakat ketika berada di dapur kerana perlu menghidupkan watak Jo Don yang merupakan seorang cef profesional,” kongsinya.

Keterbukaan

Katanya, cabaran terbesarnya sepanjang menjalani penggambaran Keluarga Baha Don adalah menyampaikan dialog dalam bahasa Perancis. Menurutnya, dia mengambil masa sekitar tiga jam demi menyelesaikan babak dalam bahasa Perancis itu.

“Pengarah terpaksa memanggil rakannya yang pandai bertutur dalam bahasa Perancis ke set penggambaran demi mengajar saya. Alhamdulillah, hasilnya boleh tahan,” katanya.

Sementelah kali pertama terbabit dengan projek drama laman penstriman, pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu pantas merasakan perbezaan yang dilihat daripada sudut profesionalisme dan suasana bekerja.

Jelasnya, setiap hari berada di set penggambaran mereka tidak pernah berdepan dengan sebarang tekanan.

Selain itu, tambah Remy teknik kamera dan sudut yang digunakan pengarah serta jurukamera turut berlainan berbanding drama mahupun filem yang pernah dijayakan sebelum ini.

“Minggu pertama agak janggal kerana kami tidak mengenali antara satu sama lain. Namun, pengarah bijak memastikan kami mempunyai keserasian dengan membiarkan kami saling berkenalan.

“Masuk ke minggu seterusnya, tiada lagi tekanan di set dan kami sudah mula serasi untuk berlakon,” jelasnya.

Sambung Remy, kaedah penyampaian cerita di platform penstriman adalah lebih terbuka selain berkemampuan diakses jumlah penonton yang lebih ramai.

“Sudah tentu apabila dalam platform penstriman jumlah penonton lebih ramai. Disebabkan itu, tiada sebarang sekatan untuk berkarya kerana memiliki dana yang besar, banyak yang boleh diterokai,” katanya menutup perbualan.

Kembali menjayakan watak humor, penampilan Remy Ishak sebagai Jo Don nyata menzahirkan sisi berbezanya yang sinonim dengan watak hero romantis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini