‘Ini adalah agenda terancang pihak tertentu’ - Mujahid - Utusan Malaysia

‘Ini adalah agenda terancang pihak tertentu’ – Mujahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 29 Julai – “Saya kira ini adalah agenda terancang oleh pihak-pihak tertentu. Bila tiada orang kutuk Islam mereka sendiri yang kutuk Islam.

“Lepas tu mereka sendiri yang buat perhimpunan. Dia sendiri yang marah kepada menteri, dia sendiri yang maki hamun kerajaan lepas tu dapat tahu benda tu tak betul.

“Bayangkan orang yang macam ADUN ni muat naik kenyataan yang tiada langsung standard kerana pembohongan dan dia komen pula lagi tentang saya sebagaimana yang dibaca.” 

Memuatkan artikel berkaitan…

Itu reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mengenai tindakan 
seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak yang didakwa memuat naik poster fitnah  mengaitkan dirinya. 

Menurut Mujahid, beliau tidak teragak-agak untuk menyaman  DUN berkenaan dan buat masa ini  menunggu makluman daripada peguamnya sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Halfest Jakim 2019 di sini hari ini. 

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengerusi Majlis Agama Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussien Abd. Khadir.

Terdahulu,  Setiausaha Akhbar Mujahid, Siti Zulaikha Zulkifli membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kira-kira pukul 11 pagi ini ekoran satu hantaran di Facebook berkaitan kes menghina Nabi Muhammad SAW oleh seorang pemegang akaun media sosial berkenaan dan menggunakan gambar dengan dakwaan kenyataan Mujahid.  

Laman Facebook itu yang menggunakan nama ‘MyNewsHub’ dengan memuat naik sebuah banner berkaitan isu Wendy Loong. 

Mengulas lanjut, Mujahid menegaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang dinyatakan dalam hantaran Facebook tersebut dan mendakwa perkara itu sengaja dibangkitkan bagi menimbulkan keresahan terhadap umat Islam di negara ini. 

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang itu dan meletakkan kenyataan di dalam poster telah meletakkan keresahan.

“Ada yang mengecam dengan berkata dalam nada permusuhan. Saya mengambil itu sebagai tanggungjawab sepenuhnya terhadap mereka yang menaikkan poster itu dan kita telah kenal pasti siapa dia,” ujarnya. 

Mujahid berkata, beliau bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk memberikan keterangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan yang dibuat oleh Setiausaha Akhbar Mujahid. 

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini