NEW DELHI 4 Julai – Fenomena gelombang haba melampau yang melanda India telah membunuh lebih 100 orang pada musim panas ini dan dijangka bertambah buruk pada tahun-tahun akan datang.
Situasi itu juga dijangka mencetuskan krisis kemanusiaan kerana sebahagian besar negara ini berpotensi menjadi ‘terlalu panas’ untuk didiami.
Lapor CNN, berdasarkan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC), India merupakan antara negara yang dijangka terjejas teruk akibat kesan fenomena iklim itu.
Pakar-pakar Institut Teknologi Massachusetts (MIT) memaklumkan, meskipun dunia berjaya mengurangkan pelepasan karbon dan mengehadkan jangkaan purata kenaikan suhu global, beberapa bahagian di India masih menjadi panas sehingga menguji kelangsungan hidup manusia.
“Kesan gelombang haba pada masa depan kelihatan lebih teruk walaupun dengan mitigasi untuk perubahan iklim dan lebih buruk lagi tanpa pengurangan tersebut,” kata Profesor Hidrologi dan Iklim MIT, Elfatih Eltahir.
Dalam pada itu, AK Sahai dan Sushmita Joseph dari Institut Tropika Meteorologi India memberitahu, gelombang haba mungkin merebak ke seluruh negara pada masa depan.
Kerajaan India mengisytiharkan gelombang haba apabila suhu meningkat hampir 4.5 darjah Celsius, melebihi suhu ‘normal’ untuk kawasan tersebut sekurang-kurangnya untuk dua hari.
Tahun lalu, terdapat 484 gelombang haba melanda seluruh India, peningkatan daripada 21 pada tahun 2010.
Dalam tempoh tersebut, lebih 5,000 orang meninggal dunia.
Sementara itu, 13 terbunuh di Ratnagiri, Mumbai dalam kejadian empangan pecah susulan hujan lebat monsun.
Kira-kira 11 yang lain masih hilang selepas tujuh perkampungan ditenggelami air.
“Operasi menyelamat giat dijalankan,” jelas jurucakap pasukan penyelamat. – AFP/agensi











