Impian dan kebahagian Fasha, Aidil - Utusan Malaysia

Impian dan kebahagian Fasha, Aidil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DISANGKA panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Demikian peribahasa menggambarkan betapa singkat kebahagiaan yang dinikmati pasangan Fasha Sandha dan Aidil Aziz ketika berita kehamilan Fasha dikongsi sekitar Mei lalu.

Kedua-dua mereka yang disatukan pada 30 Mac lalu berkongsi khabar gembira dirinya hamil setelah dua bulan mendirikan rumah tangga.

Namun, takdir Tuhan menentukan kebahagiaan itu sementara apabila direntap pada sambutan Syawal 10 Jun lalu. Fasha menerusi laman Instagramnya mengumumkan mengalami keguguran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tabah dengan ketentuan Ilahi, ternyata pelakon berusia 35 tahun itu optimis untuk kembali hamil demi ikatan kasih perkahwinan keduanya.

Menurut Fasha, jauh sekali mempertikaikan takdir, dia tidak pernah berasa hilang harapan untuk melahirkan zuriat bersama Aidil.

“Keguguran boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Mungkin pada usia 35 tahun ke atas, wanita seusia saya mempunyai risiko untuk hamil.

“Sudah tentu saya mengambil pengajaran daripada kejadian lalu dan tidak mahu terlalu aktif sekiranya hamil lagi pada masa akan datang,” katanya memulakan bicara.

Tambah Fasha, menyedari usianya semakin meningkat dia mahu segera mendapatkan anak, namun enggan terlalu berharap.

“Sebaiknya secepat mungkin. Saya sendiri sering berdoa dan mengharapkan keajaiban. Jika terlalu berharap nanti, alami tekanan pula. Jadi, kami hanya boleh berusaha dan berdoa,” tuturnya.

Sungguhpun reda dengan ketentuan Tuhan, resam bergelar selebriti tidak boleh lari daripada terus dipersalahkan netizen gagal menjaga kandungan sulung hasil perkahwinan dengan Aidil.

Terdapat juga pendapat umum kononnya punca keguguran tersebut kerana tindakan Fasha berkongsi berita berkenaan terlalu awal.

Pantas membidas tanggapan berkenaan, Fasha berpendapat semua yang diperkatakan khalayak sekadar fahaman tidak berasas.

“Saya tidak percaya hanya kerana mengumumkan hamil ketika kandungan masih awal mengundang kepada keguguran.

“Itu terpulang terhadap kepercayaan masing-masing. Pada pendapat saya, ini berkaitan rezeki dan nasib. Itu sahaja,” jelasnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka syarikat pengurusan, Mind Order di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rezeki, air tangan Fasha

Aidil yang kebetulan hadir menemani Fasha turut diminta meluahkan isi hati. Suami yang mulanya dibayangi kemanisan untuk menyandang gelaran bapa buat kali pertama, kemudian harus menerima hakikat untuk reda nikmat tersebut ditarik balik itu sama seperti isterinya.

“Saya percayakan rezeki Allah dan sebagai hamba, kita jangan sesekali berputus asa. Fasha telah mempunyai dua anak dan mereka kini anak saya juga.

Ramai orang memberitahu, wanita yang baru keguguran lebih subur. Kita nantikan sahaja,” katanya segera meminta umum menutup bicara mengenai soal zuriat.

Tutur pelakon Romi Cinta Julia itu, dia mengimpikan sebuah percutian romantik bersama Fasha.

Dedahnya sejak melangsungkan perkahwinan, mereka juga belum berkesempatan untuk bercuti sedangkan impian mereka adalah meluangkan masa berdua-duaan.

“Saya mahu cuti panjang dan membawa Fasha bercuti. Hanya dia dan saya,” kongsinya.

Ketika ditanya mengenai lokasi impian percutian mereka, Aidil berkata, mereka tidak pernah mengadakan perbincangan khusus namun gemarkan suasana pulau.

“Lokasi percutian belum dibincangkan. Namun kami meminati pulau,” luahnya.

Empat bulan bergelar suami, Aidil tanpa segan mengakui sering dilimpahkan dengan kasih sayang dan layanan mesra Fasha.

Buktinya kata Aidil, berat badannya semakin bertambah dek jatuh cinta dengan setiap masakan Fasha.

“Dia gemar memasak dan masakannya sedap. Saya sendiri masih mempunyai projek penggambaran dan ramai menegur badan semakin naik.

“Tetapi sukar untuk turunkan berat badan kerana saya gemar menikmati air tangan isteri,” dedahnya disambut tawa mesra daripada Fasha.

Gelagat mereka memberi gambaran bahawa setiap momen yang terakam, misalnya sambutan lebaran dalam laman Instagram masing-masing adalah cerminan kebahagiaan yang bukan dibuat-buat

Fasha yang kembali menyandang gelaran isteri, merasakan keluarganya kini telah lengkap.

“Kehadiran Aidil telah menyempurnakan keluarga kecil saya. Jika dahulu, anak-anak beraya tanpa bapa, perayaan kali ini mereka ada Aidil,” kongsinya ringkas.

Bagi Aidil pula, dia teruja menyambut lebaran dengan keluarga yang besar apatah lagi merasai nikmat menyediakan persiapan anak-anak.

“Saya sengaja mengambil cuti dalam tempoh yang panjang kerana mahu meluangkan masa sepenuhnya dengan mereka.

“Tahun ini juga kali pertama saya beraya di rumah mertua di Perlis. Fasha juga sempat meluangkan masa di kampung saya di Rembau, Negeri Sembilan.

“Segalanya adalah sempurna. Saya bahagia bersama Fasha dan anak-anak,” katanya.

Bahagia adalah kata kunci paling tepat unyuk menggambarkan kehidupan baharu pelakon Fasha Sandha selepas sekitar empat bulan kembali menyandang status isteri kepada Aidil Aziz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini