ALOR SETAR – Kerajaan negeri mempertimbang untuk memberi ganjaran kepada pasukan bola sepak Kedah sekiranya Lang Merah berjaya membawa pulang Piala FA ke bumi Darul Aman, hujung bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Asmirul Anuar Aris berkata, cadangan itu akan dibawanya dalam mesyuarat exco pada Khamis ini.
Menurutnya, imbuhan berupa wang tunai itu akan diberikan kepada kesemua pemain dan pengurusan pasukan yang akan bertemu Perak dalam perlawanan akhir piala berkenaan.
“Saya akan bincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berhubung perkara ini sebelum kita akan menentukan jumlahnya dalam mesyuarat itu.
“Ini sebagai penghargaaan kepada pasukan terutamanya para pemain yang bersungguh-sungguh sejak awal musim sehingga melangkah ke perlawanan akhir,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, di sini hari ini.
Dalam perlawanan separuh akhir kedua menentang Felda United semalam, Kedah mara ke pentas akhir menerusi peraturan jaringan di tempat lawan selepas keputusan agregat 3-3.
Kali terakhir Lang Merah membawa pulang Piala FA adalah pada dua tahun lalu apabila menumpaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.
Sementara itu, Asmirul Anuar yang juga Setiausaha Kehormat KFA meminta para pemain meningkatkan mutu permainan supaya hasrat menjulang Piala FA pada musim ini menjadi kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, KFA akan mencari jalan penyelesaian bagi mengelak isu pembahagian tiket perlawanan akhir berulang seperti yang berlaku sebelum ini.
“Kita juga akan mengemukakan cadangan supaya tidak ada orang politik mengambil kesempatan dalam isu tiket ini kerana kita ada prinsip bahawa mereka perlu membeli tiket perlawanan akhir menggunakan wang sendiri dan kemudian boleh diedarkan kepada sesiapa sahaja,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











