Husam minta Presiden Pas 'makan suplimen dan vitamin' - Utusan Malaysia

Husam minta Presiden Pas ‘makan suplimen dan vitamin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 20 Julai – Gesaan Pas supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) membubarkan segera Parlimen kerana terbukti gagal memastikan kestabilan politik dan keharmonian dalam negara disifatkan sebagai lawak jenaka.

Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Datuk Husam Musa berkata, sekiranya mereka (Pas) ingin Pilihan Raya Umum (PRU) secepat mungkin, pihaknya turut mencadangkan agar kerajaan Pas Kelantan dan Terengganu membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing terlebih dahulu.

Menurutnya, PRU-14 baru lepas setahun dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru sahaja mahu melaksanakan pendaftaran automatik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya kira semua pihak masih lagi ‘lenguh badan’ kerana PRU lalu yang begitu epik. Ini satu cadangan lawak jenaka yang tiada benda lain nak cakap.

“Jadi, kalau mahu sangat PRU, biar kerajaan Pas Kelantan dan Terengganu bubar DUN dulu. Kita tengok kalau Pas boleh menang besar, baru kita bubar Parlimen,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Sepakat @ Komuniti & Sambutan Setahun Malaysia Baharu 2019 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sering, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa supaya kerajaan membubarkan Parlimen kerana ketidakstabilan dan keretakan yang berlaku dalam Pakatan Harapan amat besar sehingga memberikan kesan yang buruk kepada rakyat.

Dalam pada itu, Husam turut menyarankan Pas supaya ‘makan suplimen dan vitamin’ bagi menjawab kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak selera untuk menerima pelawaan PH bagi menyertai mereka.

“Kadang-kadang kita tidak berapa sihat, jadi memang kurang selera. Saya harap Pas lebih banyak makan suplimen dan vitamin supaya selera terbuka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini