KUALA LUMPUR – Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah enggan memikirkan soal masa depannya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebaliknya mahu fokus pada baki saingan musim ini.
Pelumba Red Bull KTM Tech3 tersebut menegaskan dia perlu menghormati kontrak bersama pasukannya itu dan bertekad untuk terus memburu mata dalam kelas perdana tersebut.
“Kini rutin harian saya pada latihan dan sebelum berakhir cuti pertengahan ini saya mahu tingkatkan perasaan saya bersama jentera KTM.
“Mengenai kontrak saya enggan ulas lanjut kerana saya hormati kontrak bersama pasukan. Saya juga belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana pasukan.
“Jadi misi saya hanya mahu lakukan terbaik sebelum tiba perlumbaan di Grand Prix (GP) Malaysia nanti,” kata Hafizh ketika ditemui pada pelancaran GP Malaysia semalam.
Pelumba Red Bull KTM Tech3 tersebut hilang tempat musim depan selepas pelumba Moto2 dari Afrika Selatan, Brad Binder sah menggantikan posisi Hafizh.
Ia susulan prestasi Hafizh yang dilihat tidak konsisten pada musim ini selepas pasukannya beralih kepada jentera KTM, berbanding penampilan cemerlangnya pada musim lepas ketika pasukan itu masih menggunakan jentera Yamaha.
Selepas sembilan pusingan musim ini, pelumba berusia 25 tahun itu hanya mengutip tiga mata setelah menamatkan saingan pada kedudukan ke-14 di GP Perancis, Mei lalu dan ke-15 pada GP Belanda di Litar Assen Jun lepas. – K! ONLINE











