PUTRAJAYA – Syarat had umur pemohon perumahan Residensi Wilayah dinaikkan daripada 18 tahun kepada 21 tahun ke atas.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, penambahbaikan had umur pemohon itu dibuat supaya pemohon telah bersedia untuk membiayai kos rumah yang dibeli dan kos sara hidup yang lain.
Beliau berkata, langkah itu juga bagi mengelak nama bakal pembeli yang berusia 18 tahun disalahgunakan oleh pihak tertentu.
“Kita merasakan umur 18 tahun tidak munasabah kerana mereka ini masih bersekolah dan belum bekerja.
“Kita takut nama mereka disalahgunakan oleh orang lain sebab harga rumah di bawah pasaran.
“ Kita khuatir ada yang ambil kesempatan menggunakan nama budak-budak ini, selepas beberapa tahun tukar nama rumah, “ katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.
Sebelum ini, syarat umur pemohon rumah mampu milik Residensi Wilayah ialah 18 tahun dan ke atas. Residensi Wilayah dahulunya dikenali sebagai Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) sebelum dijenamakan semula pada 1 Februari 2019.
Difahamkan, terdapat 280,000 pemohon Residensi Wilayah dengan dua peratus daripadanya mereka berusia 18 tahun. Daripada jumlah itu, hanya 10 pemohon difahamkan melepasi syarat dengan pembiayaan ditanggung oleh ibu bapa mereka.
Menurut Khalid, beliau yakin dengan peningkatan had umur itu dapat mengelak penyelewengan dan salahguna nama pemohon oleh pihak tertentu.
“Kita berharap mereka yang berumur 21 tahun tidak akan sanggup nama mereka dijual, diguna pakai oleh pihak lain, jika tidak mereka tidak lagi layak untuk permohonan akan datang,” katanya.
Ditanya mengenai status pemohon berusia 18 tahun sebelum ini, beliau berkata, pihak kementerian akan mengambil kira kedudukan mereka, dan tiada lagi pemohon berumur 18 tahun selepas penambahbaikan syarat permohonan dilaksanakan.
Menurut Khalid, kenaikan had umur itu merupakan antara penambahbaikan yang dilakukan kementeriannya ke atas projek berkenaan yang setakat ini terdapat 47,889 unit rumah daripada 70 projek.
Penambahbaikan lain termasuk menetapkan keluasan minimum 900 kaki persegi berbanding 800 kaki persegi sebelum ini, mewajibkan pengiktirafan QLASSIC dan mewujudkan portal Residensi Wilayah yang dilancarkan hari ini, menggantikan portal Rumawip sedia ada. – UTUSAN ONLINE











