KUALA LUMPUR – Penduduk kawasan di sekitar Subang Jaya, Selangor dialu-alukan untuk menyertai gotong-royong besar-besaran di 13 lokasi panas denggi bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes pada Ahad ini.
Timbalan Pengarah Korporat Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, pelancaran Program Mega Cari dan Musnah Aedes Negeri Selangor Peringkat MPSJ 2019 itu bertujuan untuk menangani peningkatan kes demam denggi di negeri Selangor.
Gotong-royong bersepadu ini akan diadakan di lokasi pelancaran program iaitu di tempat letak kenderaan, berhadapan Blok CC, Puchong Utama Court 2, Jalan Puchong Utama 7, Puchong, Selangor bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.
“Gotong-royong ini akan diadakan serentak di 13 lokasi iaitu di Taman Bandar Bukit Puchong dan Flat Bandar Bukit Puchong, Balai Masyarakat Flat PJS 7/15, Gelanggang Bola Keranjang USJ 6/7 dan di depan kedai serbaneka Speedmart Jalan SM 2 Taman Subang Mas.
“Turut diadakan di hadapan Restoran Belanga Jalan Indah 3/2 Puchong Indah, Balai Masyarakat Jalan Tempinis (Lorong 2-5), Kampung Tengah Puchong dan Apartment Starville USJ 19 serta depan Surau Jalan SR 1/1 Flat Serdang Raya Seksyen 1.
“Selain itu di kawasan Red Ruby Apartment Jalan Indah 2/6, Taman Universiti Indah, padang hadapan Flat Jalan PBS 14/4 Taman Bukit Serdang Seksyen 14 dan Dewan Serbaguna Pangsapuri Damai Utama, dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, program itu mendapat kerjasama Ahli Jawatan Kuasa Penduduk (JKP) Zon 15 MPSJ, Skuad Sukarelawan Program Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.
“Turut terlibat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) serta pelajar-pelajar sekolah di bawah program Generasi Bestari (Smart Gen) MPSJ 2019,” katanya.
Penduduk juga dinasihatkan untuk memberikan kebenaran kepada pihak MPSJ untuk memasuki kawasan rumah bagi tujuan pemeriksaan dan dingatkan untuk tidak membuat cantasan atau menebang pokok serta membuang sampah pukal seperti perabot, tilam dan sebagainya pada hari tersebut. – UTUSAN ONLINE











