KOTA BHARU 2 Julai – Seluruh jentera UMNO diseru supaya terus istiqamah memberikan fokus kepada penyatuan ummah bersama dengan Pas dalam menghadapi isu-isu yang menggugat keharmonian agama Islam dan bangsa Melayu.
Exco Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berkata, selain itu, parti itu juga perlu memberi fokus kepada kepincangan dan kecelaruan regim Pakatan Harapan (PH) dalam mentadbir negara ini.
Beliau berkata, mereka juga perlu terus menyantuni dan menyelami suara hati rakyat dalam memastikan UMNO terus relevan di negara ini.
“Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tentang ‘UMNO jangan hilang fokus’ telah menunjukkan komitmen Pemuda UMNO dalam meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.
“Selaku Exco Pergerakan Pemuda Malaysia, saya menyokong penuh kenyataan ini dan melihat bahawa UMNO tidak boleh berpecah belah buat masa sekarang ini serta perlu menyokong teguh kepemimpinan UMNO yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Kluster Peguam Muda Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak terjangkit dengan wabak penyakit perpecahan yang melanda gabungan parti PH.
“Biarlah mereka dengan Perdana Menteri dan Bakal Perdana Menteri mereka. Kita fokus hanya kepada nasib rakyat yang telah menyesal memilih dalam pilihan raya umum lalu.
“Ramai yang iri hati melihat perpaduan UMNO – Pas yang menuju realiti. Ternyata, perpaduan sebegini mendapat keberkatan dan memperlihatkan penyatuan ummah yang diimpikan oleh rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE











