SPIELBERG – Prinsipal pasukan Ferrari, Mattia Binotto menolak khabar angin yang menyatakan mereka bersiap sedia untuk mengikat pelumba Red Bull, Max Verstappen menjelang saingan Formula Satu (F1) pada musim 2020 nanti selepas gagal tampil cemerlang musim ini.
Spekulasi itu timbul selepas pelumba No.1 Ferrari, Sebastian Vettel dikaitkan dengan persaraan dalam perlumbaan F1 musim depan, namun Vettel telah menafikan mengenai berita tersebut.
Rakan sepasukan Vettel, Charles Leclerc pula dalam proses penilaian mengenai masa depannya bersama Ferrari selepas kontraknya dikatakan tidak dilanjutkan pada musim depan dan akan diganti dengan pelumba lain.
Binotto menegaskan, Ferrari masih mempunyai kontrak yang sah apabila Vettel dan Leclerc mungkin akan beraksi menjelang perlumbaan untuk musim 2020.
“Saya hanya mampu mengesahkan apa yang dikatakan oleh Vettel. Kami mempunyai dua pelumba, malah mereka masih mempunyai kontrak dengan kami dan saya gembira bersama mereka.
“Senarai pelumba bagi musim depan telah ditetapkan dan tiada sebab kenapa kami ingin menukarnya,” katanya ketika ditanya adakah Ferrari tertarik untuk membawa masuk Verstappen pada musim 2020.
Dalam pada itu, ketua pasukan Red Bull, Christian Horner berharap rundingan mengenai kontrak pelumbanya, Verstappen akan segera dilakukan selepas pelumba Belanda itu mencatat kemenangan di Red Bull Ring minggu lalu.
“Kontrak antara pelumba dan pasukan adalah rahsia bagi kedua-dua pihak. Mengenai spekulasi Verstappen, ia adalah khabar angin dan ketika ini dia (Verstappen) gembira bersama kami,” kata Horner. – Agensi











