Fathia mahu fokus menyanyi - Utusan Malaysia

Fathia mahu fokus menyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENYEBUT nama Fathia Latiff, pasti banyak orang akan melabelkan wanita berusia 32 tahun itu sebagai artis yang sering mencetuskan kontroversi.

Sejak sebelum mengenakan tudung, sehinggalah mengambil keputusan untuk berhijab dan menanggalkan semula, pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Ariana Rose itu sering menjadi perhatian khalayak.

Bagaimanapun, sebagaimana kuat tohmahan yang diterima daripada orang sekeliling, begitulah cekalnya jiwa Fathia mendepani hidup sebagai selebriti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengakui lebih cenderung untuk bergelar penghibur, Fathia yang ditemui baru-baru ini berkata, perjalanan kerjayanya kini tertumpu terhadap proses menyiapkan single baharu berjudul Jika Aku Tahu.

Masih ada beberapa bahagian yang perlu dicantikkan, Fathia mahukan pendengar dan peminat berpuas hati dengan lagu ciptaan sendirinya itu.

Dalam pada itu, Fathia turut berbicara mengenai kesediaan untuk bergelar penyanyi sepenuh masa dan keengganannya berkongsi perihal peribadi dalam Instagram.

KOSMO!: Apa khabar Fathia. Boleh kongsikan perkembangan terbaharu anda?

FATHIA: Buat masa ini, saya sedang sibuk di studio untuk menyiapkan rakaman single baharu berjudul Jika Aku Tahu. Single ini sangat istimewa kerana merupakan karya saya sendiri.

Apakah ada kisah benar di sebalik single berkenaan?

Lagu ini berentak balada dan mengisahkan pemergian orang tersayang. Lagu ini mempunyai maksud yang sangat mendalam dan saya berharap agar sesiapa yang merindui orang yang telah tiada, boleh mendengarkan lagu ini.

Anda sibuk menyanyi, adakah anda tidak lagi berlakon?

Sejujurnya, saya masih mahu berlakon. Jika watak yang ditawarkan sesuai, saya akan terima. Cuma, saya sedang sibuk siapkan lagu, jadi ketika ini banyak saya ditumpukan untuk projek tersebut.

Katakan keberadaan anda dalam industri muzik diterima ramai, adakah anda terbuka jika selepas ini lebih dikenali sebagai penyanyi, bukan lagi pelakon?

Saya tidak kisah memandangkan minat menyanyi memang ada dalam diri sejak dulu. Benar, saya dikenali sebagai pelakon tetapi bakat berlakon bukan datang secara semula jadi. Sebaliknya, datang selepas digilap selama bertahun-tahun.

Adakah anda rasa imej berambut pendek yang digayakan sekarang sesuai sebagai penyanyi?

Ketika aktif berlakon, saya perlu menyesuaikan imej sebenar dengan watak. Jadi, saya buat perkara yang serupa untuk bidang nyanyian. Saya potong rambut pendek bagi mewujudkan satu karakter baharu yang mengatakan saya kini sedia untuk bergelar penyanyi. Pada pendapat saya, berambut pendek bukanlah satu hal yang pelik, Misha Omar dan Jaclyn Victor juga berambut pendek, cuma gaya potongannya sahaja berbeza.

Bagaimanakah kerjaya anda selepas dilanda kontroversi akibat mengambil keputusan untuk tidak mengenakan tudung?

Saya percaya pada bakat. Jika kita berbakat dan ada keyakinan untuk pergi jauh, insya-Allah, kita akan kekal dalam industri. Kalau boleh, saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan kontroversi untuk terus dikenali.

Media sosial merupakan platform paling popular untuk mengekspresikan diri. Bagaimanakah anda menangani masalah buli siber, terutama apabila memuat naik hal-hal berkaitan peribadi?

Rakyat Malaysia memang suka mengambil tahu hal peribadi saya. Tetapi, saya tidak mahu lagi memuat naik rutin harian dalam Instagram. Saya mahu jadikan Instagram sebagai platform untuk berkongsi tentang karier sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini