KUALA LUMPUR – Penyanyi asal Sabah, Eylia Eyre Guntabid dinobat sebagai juara sekali gus menggondol empat pingat emas dan satu pingat perak menerusi World Championship Of Performing Arts 2019 (WCOPA 2019) yang berlangsung di Long Beach Perfoming Arts Center, California, Amerika Syarikat pada 12 hingga 21 Julai lalu.
Menerusi kemas kini di Instagram, Eylia melahirkan rasa tidak percaya di atas kemenangan besarnya itu.
“Saya kehilangan kata-kata untuk mengungkapkan kemenangan ini.
“Saya berasa sangat bangga kerana dapat mewakili Malaysia dan Sabah sehingga memenangi acara tersebut dengan meraih empat emas dan satu gangsa,” katanya.
Eylia meraih empat menerusi kategori Vokal R&B, Vokal Dunia, Vokal Terbuka dan Vokal Gospel. Manakala pingat perak pula bagi kategori Vokal Broadway.
Dalam pada itu, Eylia turut berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjaya nyanyiannya.
“Terima kasih yang tidak terhingga buat semua yang sentiasa memberikan sokongan dan motivasi. Saya sayang anda semua,” katanya lagi. – K! ONLINE











