JERANTUT – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah terkejut apabila nama dan gambarnya digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian untuk menjerat mangsanya.
Nazri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata, perkara tersebut disedarinya apabila seorang peniaga, Md. Ashraf Md. Nasir, 29, dari daerah ini memuat naik status di Facebook miliknya mengenai tindakan seorang individu cuba memperdayakannya.
“Individu tersebut menyamar menggunakan nama dan gambar saya menerusi aplikasi Whatsapp namun dia tidak mengetahui Md. Ashraf mengenali saya.
“Saya bernasib baik kerana perkara ini dapat dikesan dengan cepat dan ia boleh memburukkan nama serta reputasi saya sebagai Exco Kerajaan Negeri Pahang dan wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis bersama Md. Ashraf di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut di sini hari ini.
Menurutnya, pihak polis perlu mengadakan siasatan segera dan mengesan individu terbabit berdasarkan nombor telefon dan akaun bank yang diberikan kepada mangsa.
Sementara itu, Md. Ashraf memberitahu, dia telah menerima mesej menerusi Whatsapp pada 2 Julai lalu yang tertulis nama Nazri dan menggunakan gambar profil beliau bersama Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.
“Individu terbabit menyuruh saya masukkan wang RM1,500 ke akaun Public Bank atas nama YB Hj Mohd Ridzuan sebelum pukul 9 malam dan akan membayarnya semula selepas itu.
“Saya kenal sangat dengan Nazri jadi saya mengesyaki ini adalah satu penipuan yang cuba memperdaya menerusi orang yang kita kenali,” jelasnya.
Tambahnya, beberapa rakannya turut menerima mesej dari nombor telefon yang sama namun tidak ada sebarang transaksi dibuat kepada akaun yang diberikan.
“Saya difahamkan ada mangsa yang telah terjerat dengan taktik penipuan atas talian ini dan saya harap individu terbabit dapat ditangkap bagi mengelak lebih ramai mangsa yang tertipu,” ujarnya.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut. – K! ONLINE











