KUALA LUMPUR- Enam pekerja bot ditahan selepas didapati positif dadah dalam pemeriksaan dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan Pelabuhan Selat Selatan, Kota Kinabalu, Sabah semalam.
Operasi khas bermula pada pukul 9 pagi itu dijalankan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam operasi itu, sebanyak 22 bot ditahan untuk pemeriksaan secara rawak bagi mengesan juragan atau kru yang disyaki terbabit aktiviti penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, operasi kali ini menyasarkan bot penambang, bot nelayan pukat tunda, bot nelayan motor dan bot jongkong.
“Sebanyak 101 individu diperiksa membabitkan 65 warga tempatan, 28 warga Filipina dan lapan warga Indonesia.
“Hasil ujian saringan awal air kencing d mendapati enam individu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Pajeri berkata, enam individu itu kemudian dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.-UTUSAN ONLINE











