Dewasa ini, internet serta media massa boleh diibaratkan seperti mata dan telinga masyarakat dalam menyampaikan sebarang berita, maklumat atau hebahan.
Memang diakui banyak faedah diperoleh daripada kecanggihan sistem komunikasi ini tetapi banyak juga impak negatif tanpa kita sedari kerana maklumat dapat disampaikan secara cepat serta efektif dan mungkin tanpa tapisan.

Namun dalam keghairahan menyampaikan maklumat, masyarakat seolah-olah leka bahawa mereka dipertanggungjawabkan terhadap sebarang maklumat yang disampaikan sekiranya ia mengundang fitnah.
Pada akhir zaman ini, perkataan fitnah ditukar menjadi “gosip” supaya masyarakat tidak memandangnya sebagai sesuatu yang berat dan berliabiliti. Gosip ini juga dianggap sebagai bahan hiburan dan mungkin menjadi bahan bacaan ketika waktu lapang.
Namun, lebih malang lagi ramai yang gemar membaca dan mendengar fitnah yang disebarkan di media sosial tanpa membuat sebaranng usul periksa yang mana sesuatu berita itu sebaik-baiknya diteliti terlebih dahulu sebelum dikongsi atau diviralkan.
Menerusi firman Allah di dalam Surah al-Hujurat 49: 6 yang membawa maksud “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang yanbg fasiq membawa sesuatu berita, periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpkan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaanya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
Sesungguhnya, umat islam perlu menghayati dan memahami ayat bahawa betapa bahayanya ancaman fitnah kepada masyarakat dan sesebuah negara iaitu betapa banyak darah yang tumpah, keluarga yang berpecah belah, persaudaraan yang terpisah gara-gara fitnah.
Mungkin sesetengah daripada kita, merasakan bahawa menyampaikan perkara yang tidak diketahui kebenarannya dianggap perkara kecil, namun disisi allah ia dianggap perkara besar seperti firmah allah “kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikitpun, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan sahaja. Padahal ia disisi Allah adalah besar.” (surah al-Nur 24:15)
Sumber: Buku Imam Muda Hassan: The Tarik Nasib Arab
sumber gambar hiasan: ohsempoi.com











