KUALA TERENGGANU – Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Losong Haji Long, malam ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sebelum kejadian dikatakan salah seorang pemilik rumah terbabit, Hakimah Aziz, 65, sedang berbuka puasa bersama tujuh ahli keluarganya.
Hakimah berkata, satu lagi kediaman yang terjejas adalah yang dihuni abangnya, Khairuddin Aziz, 62, dan isteri, Barizah Mohd.Yusof, 59, yang masing-masing menghidap penyakit termasuk kencing manis
“Kami sekeluarga sedang berbuka puasa dan tidak sedar tentang kebakaran itu sehinggalah terdengar jeritan jiran yang mengatakan api sudah marak di bahagian atas rumah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, bomba dengan kekuatan 25 pegawai dan anggota di samping tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 7.48 malam.
Katanya, setibanya di sana api telah marak bagaimanapun kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 9.20 malam.
“Rumah pertama musnah seratus peratus manakala rumah kedua musnah di bahagian atas dan bahagian bawah hangus 30 peratus.
“Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE











