KUALA LUMPUR – Orang ramai kini boleh mendokumentasikan wasiat, hibah serta harta sepencarian secara atas talian melalui laman web Pesanku.
Inovasi terbaharu daripada syarikat Wasiyyah Dot Com itu dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut syarikat itu, Pesanku memudahkan urusan dokumentasi wasiat, hibah dan harta sepencarian secara atas talian tanpa had masa dengan hanya melayari laman web www.pesanku.my.
“Idea penubuhan syarikat ini bermula daripada kesedaran akan betapa pentingnya platform yang memudahkan masyarakat di Malaysia bagi mengelakkan sebarang masalah dalam isu pembahagian harta pusaka.
“Pada tahun 2016, menurut rekod Jabatan Ketua Tanah dan Galian (JKPTG) melalui Bahagian Pembangunan Pusaka (BPP) terdapat kira-kira RM60 bilion jumlah harta tidak dituntut oleh waris si mati sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Jumlah tersebut menunjukkan suatu angka amat membimbangkan kerana harta yang terbeku ini boleh memberi kesan terhadap perkembangan ekonomi masyarakat dalam aspek pengurusan harta pusaka dan perwarisan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wasiyyah Dot Com yang merupakan syarikat di bawah kumpulan Raffcomm Sdn. Bhd. turut memaklumkan, pelancaran yang dijalankan hari ini adalah fasa pertama Pesanku yang terbuka kepada sebarang penambahbaikan dan maklum balas orang ramai.
“Wasiyyah Dot Com akan meluaskan perkhidmatannya kepada platform lain dalam fasa kedua termasuk merancang memperkenalkan ciri-ciri keselamatan digital terkini, dalam tempoh terdekat. Ini selaras dengan aspirasi Raffcomm Group untuk berada di hadapan dalam perkembangan terknologi terkini.
“Apabila semua peringkat pelaksanaan lengkap, Pesanku akan mencatatkan sejarah dalam inovasi penyediaan dokumen wasiat, hibah dan harta sepencarian. Ia akan menjadikan urusan menulis dan menyediakan dokumen berkaitan pengurusan harta itu lebih menarik dan semudah ABC sebagaimana slogan Pesanku,” katanya. – UTUSAN ONLINE











