PULAU PINANG 8 Julai – Akibat dipercayai melanggar lampu isyarat merah, dua sahabat maut manakala dua lagi cedera selepas kereta jenis Nissan Sentra yang dinaiki mereka merempuh lori tangki minyak dalam kejadian di Lebuhraya Tun Dr. Lim Choong Eu, Georgetown di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 pagi itu, mereka yang maut ialah pemandu kereta terbabit, G. M. Vicknesh, 18, dan Gan Yong Qi, 21, yang masing-masing berasal dari Bayan Lepas dan Balik Pulau di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan, dua lagi rakan mereka iaitu lelaki berusia 16 dan 24 tahun mengalami patah kedua-dua kaki dan tangan akibat kejadian tersebut.
Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku selepas kereta yang dinaiki empat sahabat berkenaan yang dari arah Batu Maung melanggar lampu merah ketika tiba di persimpangan lampu isyarat Jalan Kampung Jawa.
Akibatnya, tambah beliau, kenderaan mangsa melanggar lori tangki yang datang dari arah Georgwtown dan sedang membelok ke Jalan Kampung Jawa.
“Kedua-dua mangsa yang maut mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











