KUALA LUMPUR 8 Julai – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan beliau diejek dengan sorakan ‘boo’ oleh peneroka semasa Sambutan Hari Peneroka di Felda Selancar 3, Rompin, Pahang semalam.
Sebaliknya, beliau mendakwa ejekan itu timbul kerana gangguan di belakang pentas semasa beliau sedang berucap.
“Saya beri ucapan panjang (dan) ada gangguan di belakang, tetapi bukan ke atas saya. Saya rasa ada beberapa gangguan di belakang tapi kami tak tahu mengenainya.
“Sambutan yang diterima menggalakkan. Buktinya ada yang datang dari Sabah, Perlis dan serata negara. Mereka sambut Perdana Menteri dan inisiatif baharu yang dibentangkan dalam Kertas Putih Felda yang mencerminkan sokongan peneroka Felda terhadap model baharu,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Video Mohamed Azmin diejek ketika menyampaikan ucapan dalam Sambutan Hari Peneroka semalam tular dan mendapat perhatian ramai.
Selain video itu, terdapat juga rakaman menunjukkan peneroka beramai-ramai meninggalkan majlis ketika Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan. – UTUSAN ONLINE











