KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan baru-baru ini mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Trafik Moscow bersama delegasi-delegasi bersempena Moscow Urban Forum yang diadakan dari 4 hingga 7 Julai 2019 di Moscow, Rusia.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi catatan di Facebook berkata, forum itu merupakan acara tahunan anjuran Kerajaan Bandar Moscow dengan mengumpulkan Datuk Bandar serata dunia serta kumpulan-kumpulan profesional dan tokoh-tokoh korporat.
“Ia bertujuan membincangkan tentang isu yang dihadapi oleh bandar raya utama di seluruh dunia serta merumuskan kaedah penyelesaian permasalahan tersebut melalui perkongsian maklumat dan amalan terbaik dalam kalangan delegasi,” katanya.
Dalam forum itu juga DBKL berkata, Nor Hisham diberikan peluang untuk menyampaikan pembentangan bertajuk Pembangunan Bandar Seimbang – Kualiti Untuk Semua.
“Pembentangan ini menyentuh mengenai perancangan pembangunan mampan di Kuala Lumpur serta cabaran dan strategi untuk menjadikan ibu kota ini sebagai sebuah bandar raya berdaya tahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











