PERATURAN gol di tempat lawan membantu Kedah layak ke perlawanan akhir Piala FA, biarpun tewas 2-3 kepada Felda United pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka kelmarin.
Kedah yang turun dengan kelebihan agregat 1-0 berjaya mendapatkan dua jaringan di tempat lawan menerusi Fernando Rodriguez pada minit ke-26 dan Farhan Roslan (m-37).
Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, nasib menyebelahi pasukannya setelah kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 3-3 sebaik sahaja tamat perlawanan.
“Kami menguasai aksi pada separuh masa pertama apabila mendapat dua jaringan, namun tuan rumah enggan mengalah dan hampir memusnahkan impian kita.
“Perlawanan ini sangat mendebarkan dan kita bersyukur kerana tuan rumah tidak berjaya menghasilkan gol keempat yang boleh meranapkan impian kami,” katanya selepas tamat perlawanan.
Menurut Aidil Sharin, pasukannya perlu menilai semula prestasi benteng pertahanan yang dilihat agak rapuh pada babak kedua.
“Kita perlu memperkemaskan benteng pertahanan untuk berdepan Perak pada perlawanan akhir nanti,” ujarnya.
Aidil Sharin memberitahu, semua pemain juga perlu menilai prestasi masing-masing agar segala kelemahan dapat diatasi.
“Kita semua tahu kemampuan Perak yang dilabelkan sebagai King of Comeback (Raja Kebangkitan) selepas menyingkirkan Pahang dengan agregat 4-3 biarpun mereka ketinggalan 3-1.
“Saya amat berharap Piala FA dapat dibawa pulang ke bumi Kedah pada tahun ini,” jelasnya.











