KUALA LUMPUR 15 Julai – Persatuan Pengguna Pulau Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk menghalang penjualan ‘minuman malt tanpa alkohol’ yang dilihat akan menjadi laluan kepada golongan belia untuk mengambil minuman beralkohol.
Pemangku Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, minuman yang rasa dan kelihatan seperti bir boleh menjadi cara untuk ‘memujuk’ orang ramai untuk bertukar kepada bir sebenar dalam jangka masa panjang.
“Golongan belia yang pada awalnya meminum minuman tanpa alkohol kemudiannya mengambil bir sebenar untuk merasai kandungan alkohol sebenar.
“Harga yang dicadangkan untuk minuman malt tanpa alkohol ini adalah RM9 untuk 235ml yang mana lagi mahal daripada 325ml bir beralkohol. Bagaimana mereka boleh yakinkan semua orang bahawa malt tanpa alkohol yang dikeluarkan dapat mengubah gaya hidup peminum minuman beralkohol?” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Heineken Malaysia Berhad (Heineken) menjelaskan produknya Heineken 0.0 adalah tidak halal dan hanya dijual kepada pelanggan bukan Islam dan berusia 21 tahun ke atas sahaja.
Heineken turut menjelaskan bahawa pengeluaran minuman keras tanpa alkohol di Malaysia adalah untuk memberi pilihan kepada pengguna bukan Islam untuk menikmati arak tanpa kesan alkohol. – UTUSAN ONLINE











