KUALA LUMPUR 8 Julai – Saham-saham di Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi, selari prestasi kebanyakan bursa saham di Asia Pasifik.
Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.99 mata kepada 1,677.54 daripada 1,682.53 pada penutupan Jumaat.
Indeks bergerak antara 1,672.88 dan 1,679.65 di sepanjang sesi pagi.
Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 530 berbanding 189, manakala 345 kaunter tidak berubah, 783 tidak diniagakan dan 20 lagi digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.36 bilion saham bernilai RM805.29 juta.
Di bursa serantau, Indeks Straits Times Singapura merosot 1.28 peratus kepada 3,323.88, Nikkei Jepun turun 0.89 peratus kepada 21,553.08 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.64 peratus kepada 28,301.72.
Seorang peniaga berkata, tiada pemangkin untuk FBM KLCI, yang mendorong pelabur untuk mengambil sikap berhati-hati, dan pada masa yang sama mengehadkan belian di bursa tempatan.
Rakuten Trade Sdn. Bhd. dalam notanya berkata bahawa Malaysia memerlukan projek infrastruktur mega segera dengan aliran dana asing ke dalam ekonomi untuk mengembalikan keyakinan para pelabur. – BERNAMA











