Bursa Malaysia dibuka tinggi - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia dibuka tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia dibuka tinggi untuk hari kedua berturut-turut selepas Amerika Syarikat (AS) dan China bersetuju pada hujung minggu lepas untuk memulakan semula rundingan perdagangan.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.39 mata kepada 1,686.01 daripada 1,683.62 semasa ditutup pada Isnin.

Pada pembukaan, indeks naik 2.16 mata kepada 1,685.78.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suasana pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 127 berbanding 102, dengan 181 kaunter tidak berubah, 1,428 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 131.64 juta unit bernilai RM52.87 juta.

Dalam nota hari ini, Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata gencatan perdagangan AS-China memberikan harapan bahawa pertikaian perdagangan itu yang memberi kesan kepada persekitaran ekuiti global sejak beberapa suku tahun yang lepas mungkin hampir kepada resolusi.

Ini walaupun tiada tempoh ditetapkan untuk rundingan tersebut dan China memberi amaran bahawa rundingan itu boleh menjadi lebih lama.

Firma penyelidikan itu berkata pada masa sama, kebimbangan mengenai tarif baharu meningkat berikutan AS kini mengancam untuk mengenakan tarif ke atas barangan Eropah dan ini dijangka menyebabkan sentimen berhati-hati sekali lagi.

“Oleh itu, kami berpendapat indeks utama dapat menyaksikan ketidaktentuan baharu dalam tempoh terdekat berikutan kebimbangan baharu dan aktiviti pengambilan untung yang meningkat. Paras halangan berada pada 1,690 dan 1,670 manakala paras sokongan pada 1,680 dan 1,670,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga, masing-masing naik dua sen kepada RM8.93 dan RM13.98, manakala Public Bank, Petronas Chemicals dan CIMB, masing-masing tidak berubah pada RM23.00, RM8.74 dan RM5.41.

Daripada saham aktif, Compugates dan KNM, masing-masing susut setengah sen kepada dua sen dan 29 sen, Ikhmas meningkat setengah sen kepada 23.5 sen dan Greatech menambah dua sen kepada RM1.14, dengan Prestariang tidak berubah pada 45.5 sen.

Nestle mendahului senarai kaunter paling untung, naik 70 sen kepada RM149.10, manakala Atlan merupakan kaunter paling rugi, merosot lapan sen kepada RM3.92.

Indeks FBM Emas naik 16.49 mata kepada 11,901.65, Indeks FBMT 100 meningkat 17.16 mata kepada 11,744.73 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 16.02 mata kepada 12,282.10.

FBM 70 naik 23.84 mata kepada 14,808.76 dan FBM Ace meningkat 5.77 mata kepada 4,543.60.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 29.99 mata kepada 16,802.90 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.01 mata kepada 163.53. Bagaimanapun, Indeks Perladangan susut 6.50 mata kepada 6,971.78. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini