PASIR GUDANG – Keputusan membuka 11 buah sekolah rendah, menengah dan tadika di daerah ini semalam selepas hampir seminggu ditutup akibat pencemaran udara adalah berdasarkan bacaan indeks udara yang positif sebelum itu.
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, dua hari sebelum sekolah dibuka pihak berkaitan melakukan pemantauan dan pengukuran udara secara intensif di semua sekolah dan bacaannya adalah baik.
“Namun apabila sekolah dibuka pada pagi semalam lain pula jadinya. Sebelum ini pun memang kita ada melakukan pemantauan dan pengukuran udara terutama sekolah-sekolah yang terjejas sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar, Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahaya Madis dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz. – UTUSAN ONLINE











