Buka semula pencalonan MPM - Utusan Malaysia

Buka semula pencalonan MPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) boleh berlaku adil dengan membuka semula pencalonan untuk Me­syuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-22 yang kini dalam proses mencari tarikh baharu selepas ditangguhkan ekoran berdepan kemelut pencalonan.

Kemelut pemilihan MPM tercetus apabila terdapat lima calon dikatakan menghantar borang pencalonan melewati tarikh akhir.

Salah satu ahli gabungan MPM, Persatuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) me­lontarkan cadangan itu kerana percaya, ia lebih banyak memberi kebaikan daripada di­lihat ‘main kotor’ dalam me­lakukan pemilihan pucuk pimpinan ter­tinggi badan induk sukan orang kurang upaya tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Biro Basikal Para PKBM, Ramlay Ibrahim berkata, adalah lebih baik jika pencalonan dibuka semula untuk pro­ses pemilihan yang lebih telus dan adil.

“Biarkan proses demokrasi ini mengambil tempatnya supaya MPM mendapat pemimpin yang benar-benar mendapat sokongan majoriti ahli gabu­ngan berbanding yang menang tetapi kemudian dipertikaikan dan tidak disukai,” kata Ramlay kepada Utusan Malaysia.

Sehubungan itu Ramlay berharap cadangan itu difikirkan sebaik mungkin oleh MPM ke­rana banyak mata sedang memerhatikan apakah langkah yang akan diambil badan induk itu untuk mengekalkan kredibilitinya.

Mengikut perlembagaan, MPM akan menulis surat kepada Pesuruhjaya Sukan untuk mendapatkan tarikh baharu tersebut sebelum memberi notis dalam tempoh 30 hari kepada ahli gabungan untuk hadir.

Ini bermakna, AGM hanya boleh dilangsungkan seawal-awalnya Ogos ini bergantung kepada berapa cepat surat permohonan tarikh baharu itu diluluskan Pesuruhjaya Sukan.

Mengikut pencalonan asal, jawatan presiden menjadi ­perebutan antara Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Megat D Shahriman selepas penyandangnya SM Nasarudin SM Nasimuddin mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang dipegangnya sejak empat tahun lalu.

John Ng daripada Persatuan Ping Pong Malaysia pula bakal ditentang Dr R. Radha Krishnan daripada Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia/Persatuan Boccia Malaysia bagi merebut jawatan nombor dua badan induk itu.

MPM menerima lapan pencalonan bagi mengisi mengisi lima jawatan naib pre­siden me­libatkan persaingan antara Hadfizah Abd Khafidz (Persatuan Tenpin Bowling Para Malaysia), K.M Rajendran (Taekwondo Malaysia), Muhd. Iqbal Sulaiman (Tenis Berkerusi Roda Malaysia) dan Dr Ang Kean Koo daripada Persekutuan Bola Ke­ranjang Kerusi Roda Malaysia.

Turut dicalonkan adalah Dr Naharuddin Hashim (Persatuan Badminton Malaysia) dan Mejar Azhari Abdullah daripada Persatuan Bola Sepak Orang Buta Malaysia.

Siapa pun yang bakal menge­tuai MPM, misi yang akan digalas cukup besar iaitu membawa pulang pi­ngat emas dalam Sukan Para­limpik di Tokyo, tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini