TURIN – Gianluigi Buffon kembali menyertai Juventus dan ejen pemain itu mendakwa, pemain itu menolak tawaran Liga Perdana Inggeris bagi merealisasikan perpindahan itu.
Juara Piala Dunia itu berjaya melengkapkan ujian perubatan di Turin dan akan diberikan kontrak jangka pendek.
Dia membuat penampilan semula pada usia 41 tahun bersama kelab itu selepas setahun menyertai Paris Saint Germain.
Buffon beraksi di Perancis selepas 17 tahun bersama Juventus dan kini dia kembali bagi memperkuatkan Binconeri.
Silvano Martina mendakwa, Liga Perdana Inggeris cuba mendapatkan pemain itu tetapi Buffon tetap dengan keputusannya untuk kembali ke Itali.
“Dia banyak menerima tawaran, terutama dari kelab Liga Perdana Inggeris dan beberapa kelab ternama.
“Saya tidak akan sebutkan nama kelab kerana itu bukan cara saya.
“Buffon sentiasa membuat pilihan dengan hatinya dan bukan daripada jumlah wang yang akan diterima. Dia seperti seorang suami yang merindui isterinya,” katanya.
Martina juga menegaskan, perpindahannya ke daripada PSG juga bukan satu pengkhianatan seperti didakwa sesetengah pihak.
“Sebagai ejen, saya nasihatkannya untuk lakukan pertimbangan sebaik mungkin selaras dengan keperluan gaya hidup dan keluarga besarnya,” katanya.-AGENSI











