LONDON – Perebutan kedudukan ketua Parti Konservatif sekali gus meletakkannya sebagai Perdana Menteri Britain bagi menggantikan Theresa May kini melibatkan dua individu, Boris Johnson dan Jeremy Hunt.
Boris Johnson yang juga bekas Setiausaha Luar dilihat mendahului Hunt dalam pelbagai pendapat dan pandangan politik.
Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa pemimpin berusia 55 tahun itu mempunyai susur galur dari Turki.
Menurut laporan Daily Mail, moyang lelakinya, Ali Kemal, seorang wartawan dan ahli politik yang terbunuh selepas diculik dan didakwa atas tuduhan pengkhianatan ketika pemerintahan Empayar Uthmaniyyah.
Ali Kemal dilahirkan di Konstantinopel (kini Istambul) pada 1867 dan melarikan diri ke England di mana isterinya, Winifred, melahirkan anak lelaki, Osman Wilfred Kemal di Bournemouth.
Winifred meninggal dunia selepas melahirkan Osman.
Ali Kemal kemudiannya kembali semula ke Empayar Uthmaniyyah dan dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri pada 1919.
Pada 1922, Ali Kemal diculik di Istanbul dan berdepan dakwaan pengkhianatan namun ketika dibawa ke Ankara untuk dibicarakan, beliau diserang dan meninggal dunia.
Anak lelakinya yang tinggal di London menggunakan nama Johnson untuk mengelak daripada dibuli malah menukar nama kepada Wilfred Johnson dan berkahwin dengan Irene William.
Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki, Stanley Johnson, bapa kepada Boris Johnson.











