Bersediakan kita bertolak ansur? - Utusan Malaysia

Bersediakan kita bertolak ansur?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Menganjurkan Piala Dunia memang mengujakan dan menjadi idaman setiap negara, namun sanggupkah Malaysia melonggarkan dasarnya demi memberi laluan kepada penganjuran kejohanan bola sepak paling berprestij itu.

Contoh terbesar, bersediakah kita membenarkan pasukan atau peminat dari Israel memasuki negara ini kerana sudah tentu kelonggaran tersebut antara syarat utama yang perlu dipenuhi Malaysia.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mempunyai senarai panjang yang perlu dituruti mana-mana negara yang mahu menjadi tuan rumah, dan dalam erti kata lain, kita perlu benar-benar bersifat terbuka dalam banyak perkara jika mahu memenuhi syarat itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau kita nak anjurkan Piala Dunia banyak yang perlu dipatuhi antaranya adakah kita bersedia untuk bersikap terbuka seperti membenarkan Israel memasuki negara kita? FIFA ada senarai panjang (syarat penganjuran) yang perlu dipenuhi dan itu baru di fasa pembidaan.

“Saya sendiri sudah melihat senarai tersebut. Tambahan pula, sanggupkah kerajaan mengeluarkan belanja yang besar untuk menganjurkan Piala Dunia selain memberi komitmen 200 peratus.

“Apapun ia cadangan yang baik tetapi banyak perkara yang perlu diteliti secara menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Malaysia pernah dilucutkan hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching yang dijadual bermula dari 29 Julai sehingga 4 Ogos ini kerana tidak membenarkan perenang para Israel memasuki negara ini.

FAM juga pernah memohon maaf kepada Chelsea selepas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membuat aduan berikutan pemainnya, Yossi Benayoun yang merupakan rakyat Israel menerima layanan buruk daripada penyokong Malaysia ketika Blues menentang Pilihan Malaysia dalam aksi persahabatan pada 21 Julai 2011.

Jika Israel tidak layak beraksi dalam Piala Dunia sekali pun, penyokong negara itu pastinya tetap mahu menjadi sebahagian penonton dalam kejohanan berprestij tersebut.

Sebelum ini, Malaysia antara 10 buah negara ASEAN yang menyatakan persetujuan membida hak tuan rumah Piala Dunia 2034.

Persetujuan itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, 24 Jun lalu.

Sementara itu, Hamidin mengakui, adalah mustahil kesemua 10 negara ASEAN akan menjadi hos jika memenangi bidaan Piala Dunia.

“Kalau tiga atau empat negara sahaja sesuai kerana kuota (penyertaan) perlu diberi kepada negara lain,” ujarnya.

Setiap tuan rumah akan meraih tiket automatik, dan mustahil 10 daripada slot tersebut diberikan kepada ASEAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini