MELAKA 17 Julai – Seorang bekas tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dengan menikam mangsa selepas bertengkar di rumah mereka di Taman Seri Duyong Fasa Dua di sini pada awal bulan ini.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mahat Jalil, 56, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Teoh Shu Yee. Tertuduh bagaimanapun sempat meluahkan kata-kata, “Saya sayang isteri saya.”
Mahat didakwa menyebabkan kematian isterinya, Samnah Mohamed, 55, pada pukul 10.22 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Duyong Fasa Dua pada 3 Julai lalu dan kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Najwa Nazari yang mewakili pihak pendakwaan memohon tarikh untuk laporan forensik dan tertuduh dirujuk ke hospital psikiatrik memandangkan lelaki tersebut mempunyai rekod perubatan membabitkan masalah mental.
Shu Yee kemudian menetapkan tarikh 14 Ogos untuk serahan laporan forensik dan sebutan semula kes. Beliau turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tata Cara Jenayah.
Akhbar sebelum ini melaporkan, mangsa ditemukan mati berlumuran darah bersebelahan suspek yang turut cedera selepas cuba menikam diri sendiri di kawasan garaj rumah mereka di taman perumahan itu pada 3 Julai lalu. – UTUSAN ONLINE











