SEREMBAN – “Saya baru beli peti ais itu lapan bulan lalu untuk berniaga dan letakkan sementara di ruang tamu rumah. Tak sangka peti ais setinggi kira-kira 1.8 meter itu boleh tumbang dan menimpa kepala anak saya”
Itu cerita bapa kepada Muhammad Fawwaz Adli Mohd. Bukhari, 5, yang terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini sejak malam kelmarin akibat mengalami pendarahan dalam kepala.
Mohd. Bukhari Zainal Annuar, 33, berkata, semasa kejadian hanya isterinya, Muhammad Fawwaz Adli dan dua lagi anak lelakinya masing-masing berusia tiga tahun dan dua bulan berada di rumahnya di Taman Cempaka, Nilai.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan tiada di rumah dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam itu kerana menghadiri mesyuarat parti di Rasah, Seremban.
“Isteri saya menghubungi saya memaklumkan kejadian itu. Seorang jiran membantu membawa anak saya hingga ke Labu dan dari situ saya mengambil dan terus membawanya ke HTJ.
“Muhammad Fawwaz Adli masih sedar dan menangis semasa saya bawa ke hospital, tetapi dia kelihatan sangat lemah dan biru ketika itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di HTJ di sini hari ini.
Mohd. Bukhari berkata, beliau dimaklumkan oleh isterinya yang berusia 30 tahun, kemalangan itu berlaku dengan sekelip mata semasa isteri dan kesemua anaknya berada di ruang tamu rumah.
Menurut beliau, isterinya yang sedang menonton televisyen tiba-tiba mendengar bunyi dentuman di belakangnya dan melihat peti ais tersebut telah tumbang sebelum mendengar tangisan Muhammad Fawwaz Adli.
Katanya, Muhammad Fawwaz Adli ditemui terbaring di sebelah peti sejuk itu dan kepalanya berdarah dipercayai akibat terkena bucu peti ais berkenaan.
“Saya syak anak saya panjat pintu peti ais itu kerana dia pernah beberapa kali cuba masuk ke dalam peti ais kosong tersebut,” katanya dalam nada kesal.
Bagaimanapun, katanya, beliau bersyukur melihat keadaan anak sulungnya itu di HTJ semakin baik pagi ini walaupun masih tidur dan mengharapkan orang ramai mendoakan kesembuhan untuk Muhammad Fawwaz Adli.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, Muhammad Fawwaz Adli dijangka menjalani pembedahan untuk membuang pendarahan pada bahagian kepala hari ini.
Beliau yang ditemui pemberita selepas melawat kanak-kanak itu di HTJ hari ini berkata, pihak hospital memaklumkan keadaan Muhammad Fawwaz Adli tidak terlalu serius dan boleh dirawat. – K! ONLINE











