HULU LANGAT 16 Julai – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan tindakan di bawah radar terhadap pegawai dan anggota polis terlibat akan diambil sekiranya aktiviti perjudian masih berleluasa di negara ini.
Menurutnya, setakat ini, beliau berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas memberi amaran keras sejurus pelantikannya menerajui pasukan.
“Saya nampak keihlasan anak buah dalam perkara ini apabila mereka mengambil tindakan menerusi serbuan berganda di seluruh negara sekali gus menunjukkan perkembangan luar biasa.
“Bagaimanapun, jika kegiatan ini masih lagi berleluasa, saya sendiri akan ambil tindakan bawah radar termasuk sebarkan kepada pihak media dan menurunkan pangkat anggota dan pegawai terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menganugerahkan 231 pegawai dan anggota di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dalam Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Batalion 4, Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini hari ini.
Abdul Hamid memaklumkan, pihaknya bercadang untuk memperketatkan undang-undang untuk membanteras kegiatan judi terutama aktiviti perjudian atas talian.
“Kami kini di peringkat perbincangan dengan pihak polis dari beberapa negara termasuk Singapura, Hong Kong dan China yang turut terjejas akibat kegiatan perjudian atas talian,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










