MELAKA 8 Julai – Jabatan Pendidikan negeri mengarahkan dua buah sekolah ditangguh sesi persekolahannya hari ini untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa-mangsa banjir kilat.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, kedua-dua sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, Alor Gajah dan SK Krubong di Melaka Tengah.
“Sebanyak 1,236 murid dan 71 guru di SK Krubong terlibat manakala SK Belimbing Dalam mempunyai sejumlah 484 murid serta 40 guru.
“Bagaimanapun, hanya murid sahaja yang dibenarkan untuk tidak bersekolah hari ini manakala guru-guru yang tidak terlibat dengan bencana banjir ini diminta untuk bertugas seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abu Bakar berkata, sebuah lagi sekolah di Alor Gajah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan turut digunakan sebagai PPS yang menempatkan 122 mangsa daripada 34 buah keluarga.
Bagaimanapun sesi persekolahan bagi semua pelajar dan guru sekolah tersebut berjalan seperti biasa.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, sehingga pukul 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 1,391 mangsa daripada 318 keluarga berbanding 1,149 mangsa daripada 260 keluarga malam tadi. -UTUSAN ONLINE











