Bandar raya Chengdu, 
Sichuan mendepani zamannya - Utusan Malaysia

Bandar raya Chengdu, 
Sichuan mendepani zamannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELALUI Alan Hoo, Presiden, One Belt One Road South-east Asia NGO Alliance, ringkasnya OBORSEANA, saya, bagi pihak Majlis Perundingan Melayu (MPM), mendapat undangan dan tajaan Chengdu Municipal Bureau of Commerce, Chengdu, Sichuan, China, untuk mengikuti acara 2019 Chengdu International Business Tour pada 24-28 Jun 2019.

Sebelum ini kami di MPM hanya berkesempatan mengikuti perkembangan inisiatif kerajaan China mengenai One Belt One Road Initiative ini (ringkasnya B&R Initiative) hanya menerusi beberapa cara tidak langsung, termasuk penganjuran Forum B&RI bersama Mara pada Februari 2017.

Selepas B&RI ini aktif dilaksanakan oleh Kerajaan China, ada beberapa delegasi Malaysia termasuk beberapa NGO sekutu MPM, terlibat sama. Pun begitu, saya tidak mengikuti secara dekat setiap satunya maka tidaklah saya ketahui akan limpahan manfaat dan impak B&RI ini kepada agenda kemakmuran negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terus terang saya nyatakan apabila menerima undangan itu saya tidaklah begitu teruja untuk menyertai lawatan itu. Hanya setelah diyakinkan akan kemungkinan faedah yang boleh dimanfaatkan, terutama oleh Komuniti Ekonomi Bumiputera @ MPM, barulah saya menerima undangan itu.

Terlalu sedikit maklumat yang diketahui, baik mengenai Provinsi Sichuan, apatah lagi ibu kotanya, Chengdu. Di awal era 1990 dahulu saya pernah terlibat secara tidak langsung dalam kegiatan pelaburan satu konglomerat Malaysia ke China.

Kebanyakannya berdepan berbagai cabaran getir, membayangkan negara itu pada ketika itu, belum bersedia menerima pelaburan luar. Apabila gelombang B&RI mula melanda bukan saja negara ini, malah dunia keseluruhannya, banyak persepsi negatif dan sebaliknya memenuhi pelbagai medan perdebatan.

Semua itu mempengaruhi persepsi saya mengenai usaha kerjasama ekonomi dengan negara berkenaan. Lantas saya terdorong untuk melakukan tinjauan maya mengenai Chengdu terutamanya. Di antara rencana menarik yang saya temui termasuklah tulisan Robert Schrader pada 15 Oktober 2017 yang disiarkan dalam majalah The Journal by Intrepid Travel, berjudul Chengdu; a guide to China’s hottest destination.

Hasil pembacaan itu dapatlah sedikit sebanyak saya membayangkan resepsi yang bakal saya terima sebagai tetamu kerajaan atas undangan Chengdu Municipal Bureau of Commerce itu.

Setibanya kami di Chengdu, kami dapati saiz delegasi yang diundang menyertai acara ini sungguh kecil. Hanya kami berempat dari Malaysia dari jumlah 30 delegasi yang diundang, mewakilidua negara ASEAN, Malaysia dan Thailand. Turut diundang ialah dua negara EU iaitu Austria dan Jerman. Tapi fokusnya ialah kerjasama di antara ASEAN dan Chengdu.

Delegasi Malaysia mencuri tumpuan, hanya kerana kami berempat memperkenalkan diri mewakili komuniti ekonomi pelbagai etnik utama di Malaysia. Hoo, selain selaku Presiden OBORSEANA kami paparkan sebagai wakil Komuniti Ekonomi Etnik Cina manakala saya yang mewakili MPM, dipaparkan mewakili Komuniti Ekonomi Melayu, Prof. Dr Selvaraj Olayan Pillay mewakili Komuniti Ekonomi India dan Brandon Khoo daripada Komuniti Ekonomi Sarawak. Kepelbagaian ini sesuatu yang langsung mereka di Chengdu tidak mengetahuinya.

Banyak yang hendak saya kongsikan di sini. Pun begitu ada baiknya saya ringkaskan sebaik mungkin agar para pembaca dapat menumpukan perhatian kepada topik-topik utama yang hendak saya kongsikan.

i. Acara rasmi Kerajaan

Acara ini adalah acara rasmi kerajaan atas inisiatif Chengdu Municipal Bureau of Commerce. Selain perjumpaan dengan para pegawai kanan pentadbiran Chengdu, kami berkesempatan berjumpa wakil kerajaan dari beberapa daerah dalam Bandaraya Chengdu.

Terdapat 20 daerah pentadbiran dalam kawasan pentadbiran Bandar Raya Chengdu. Sekadar perkongsian maklumat, bandaraya Chegdu saja mempunyai penduduk hampir 20 juta. Ia adalah ibu kota Provinsi Sichuan yang berada di barat daya China, berada pada laluan sutera menghubungkan China dengan Eropah.

Sebagai tetamu kerajaan, ke mana saja kami berkunjung mengikuti acara yang telah disediakan, baik agensi kerajaan, agensi bisnes milik kerajaan (GLC), mahupun pihak swasta, semua pembentangan dan pameran disediakan khas sempena lawatan kami, bukan bahan pameran yang telah tersedia untuk semua pelawat.

ii. Impak Kuasa

Pengetahuan, pengalaman dan persepsi saya secara peribadi mengenai kerajaan China sebelum ini jauh berbeza dengan apa yang dihidangkan kepada kami kali ini. Kemajuan yang kami lihat adalah hasil dari transformasi pentadbiran kerajaan pusat, kuasa autonomi kerajaan provinsi, pemerkasaan setiap agensi kerajaan, agensi bisnes milik kerajaan (GLC) dan pihak swasta.

Inisiatif itulah yang merangsang setiap agensi itu untuk lebih proaktif, lebih kreatif dan inovatif. Budaya kerja mereka bukanlah sepertimana persepsi saya yang terbina hasil pengalaman berinteraksi dengan mereka di awal era 1990-an dahulu. Mereka kini bukan mereka yang saya pernah kenali dulu.

iii. Teras pembangunan

Pembangunan Chengdu adalah memenuhi kehendak dan aspirasi penduduknya yang rata-rata mesra dan pembersih orangnya. Keseimbangan di antara keselesaan kehidupan dengan alam sekitar, elemen ekonomi dan kemakmuran jelas diterjemahkan dan dimanifestasikan dalam agenda pembangunan.

Pembangunan konsep green way memperuntukkan kawasan green belt sehingga melebihi 40% kawasan pembangunannya bukan hanya di atas kertas. Ia diterjemahkan kepada perlaksanaannya yang kami saksikan dan alami sendiri.

iv. Teras Ekonomi

Mengenai pembangunan elemen ekonomi, saya setuju dengan komen delegasi dari Jerman, Werner Schaechtele yang berbisik kepada saya. Katanya, apa yang beliau saksikan sempena lawatan ini merasakan seolah-olah Jerman adalah sebuah ‘negara sedang membangun’, jika dibandingkan dengan apa yang dibangunkan di Chengdu ketika ini.

Jika beliau dari Jerman beranggapan begitu, apa yang mampu saya katakan sebagai delegasi dari Malaysia. Barangkali rakan-rakan delegasi Malaysia yang lain ada jawapannya. Sebagai contoh, apabila mereka merancang membangunkan BioTown @ Tianfu District, mereka libatkan empat orang Nobel Laureate untuk memberi nasihat serta panduan. Saya sungguh kagum.

Benar kata Robert Huber, salah seorang Nobel Laureate yang dilantik sebagai Panel Penasihat kepada Projek BioTown ini. Beliau menyatakan bahawa apa yang dirancang dan dibangunkan menjadikan BioTown Project itu mengatasi zamannya.

Saya ingin menyarankan kepada rakan-rakan kita yang berminat membangunkan atau menceburi bioindustri untuk terlebih dahulu berkunjung ke BioTown @ Tianfu District ini, untuk tidak nanti kita melakukan sesuatu yang sudah ketinggalan zaman.
 

v. Peranan Sektor Swasta

Kebangkitan generasi baharu sektor swasta di Chengdu amat jelas. Selain begitu ramai usahawan bertaraf dan berbudaya global dalam kalangan generasi muda, peranan GLC dan PLC mereka amat signifikan.

Sebagai contoh, di hari terakhir lawatan, kami berkesempatan melawat, bertemu dan diberi taklimat oleh Naib Presiden yang juga salah seorang pemilik empayar perniagaan Chengdu International Trade Center.

Sebagai pihak yang pertama di China menyahut seruan Presiden Xie untuk GLC dan swasta membangunkan program keusahawanan dan mengatasi masalah pengangguran, syarikat ini, dengan keluasan gedung perniagaan bersamaan 344 ekar, mampu menampung lebih 60,000 vendor dalam kalangan pemborong dalam tujuh sektor ekonomi utama.

Mereka ini diberikan beberapa keistimewaan oleh kerajaan China, untuk mengembangkan bisnes mereka dan manfaat kepada vendor-vendor yang beroperasi di sini, termasuk vendor dalam kalangan pedagang asing.

vi. Peranan media

Media memainkan peranan yang sungguh berbeza. Mereka adalah sekutu strategik kepada kerajaan dan industri. Selain dari mencari berita untuk diperdagangkan, media juga sama-sama aktif dalam menyebarkan berita.

KUNJUNGAN hormat ke atas Timbalan Datuk Bandar Chengdu, Madam
KUNJUNGAN hormat ke atas Timbalan Datuk Bandar Chengdu, Madam Liu.

Bagi maksud itu, pihak kerajaan, GLC dan swasta berpeluang menyiarkan berita mereka melalui saluran media yang bekerjasama dengan mereka. Bayangkan betapa proaktifnya media dan akrabnya kerjasama mereka dengan lain-lain pihak termasuk swasta.

Kami menamatkan lawatan ke Chengdu International Trade Center pukul 6.30 petang. Pada pukul 8 malam, sebelum berlepas ke lapangan terbang, kami sudah menerima paparan berita mengenai lawatan kami dalam Chengdu Daily Online.

Bukan berita ringkas, tapi lengkap dengan beberapa foto sempena lawatan ini. Bagi media, di antara teras bisnes mereka ialah menyediakan atau ‘menjual’ ruangan berita, bukan iklan.

vii. Perlumbaan kerjasama

Kami delegasi Malaysia agak rasa malu apabila mengetahui sekutu kami dari Thailand sudah membuka 200 restoran masakan Thailand di Chengdu saja. Telah ada seorang usahawan Thailand membuka bisnes bekalan makanan laut sejak lebih tujuh tahun lepas.

Kami tanya jika ada sekutu dari Malaysia yang sudah bertapak di Chengdu. Dari apa yang mereka dengar pernah ada pihak memeterai MOU untuk membuka Malaysian Pavilion di Chengdu. Itu saja.

viii. Peluang kolaborasi

Rata-rata kami dapati peluang membuka bisnes secara bilateral collaboration amat mereka alu-alukan. Maksudnya bukan saja berhasrat datang berdagang ke Malaysia, mereka juga mengalu-alukan kita datang berdagang ke tempat mereka.

Kuasa beli mereka adalah kuat dan mereka berminda terbuka menerima kita berdagang bersama mereka.

Aspirasi mereka konsisten dengan dua tema Acara Lawatan Kerja kami ini, iaitu New International Perspective dan New Business Opportunities.
 

x. Perkongsian Chengdu-Kuala Lumpur

Telah ada pihak memeterai MoU bagi membuka Malaysian Pavilion di Chengdu. Hasrat itu difahamkan belum lagi terlaksana.

Kami juga memberanikan diri mempelawa jika ada di antara mereka berhasrat membuka Chengdu Pavilion di Malaysia, bagi kedua-dua pavilion ini dijadikan Gerbang Dagang (Trade Gateway) di antara Kuala Lumpur (bagi phak Malaysia) dan Chengdu (bagi pihak Provinsi Sichuan). Mereka begitu teruja dengan lontaran ilham itu. Soalnya adakah kita sudah bersedia dan adakah kita mampu setaraf dengan mereka.

OBORSEANA dan MPM bercadang mengadakan forum santai membincangkan inisiatif ini di Wisma MPM, pada selasa 23 Julai 2019, mulai pukul 9.30 pagi. Kepada yang berminat hadir dipohon menghubungi kami. Beberapa media arus perdana juga dipelawa membuat liputan sempena forum ini.

DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini